Diterbitkan pada 12 Ogos 2023, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Setakat pukul 4.00 petang, peratusan pengundi keluar untuk mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15  Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 67 peratus.

Peratusan keluar mengundi tersebut dilihat kurang memuaskan kerana setiap calon yang bertanding di bawah parti masing-masing telah membentangkan pelbagai manifesto yang dilihat dapat menarik perhatian pengundi di negeri tersebut.

Profesor Dato’ Dr. Kassim Thukiman yang merupakan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor berkata bahawa kebanyakan pengundi dilihat kurang berminat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana bagi mereka setiap negeri ditadbir oleh parti yang sama.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Ketua Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Profesor Madya Dr. Lee Kuok Tiung apabila kita dapat menyaksikan bahawa PRN Melaka dan PRN Johor turut mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Dari perspektif pengundi tempatan pula, rata-rata daripada mereka beranggapan bahawa tempoh untuk mengadakan PRN-15 Pulau Pinang ini kelihatan agak pendek kerana mereka baru sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15  yang diadakan pada November lalu.

Selain Pulau Pinang, lima negeri lain turut mencatatkan peratusan keluar mengundi yang agak rendah setakat pukul 4.00 petang, iaitu Kedah (68%), Kelantan (56%), Terengganu (70%), Selangor (65%) dan Negeri Sembilan (62%).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi