Diterbitkan pada 12 Ogos 2023, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto: Rasul Manan

Anak Bukit – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihati penduduk di Kedah supaya keluar mengundi kerana amat penting bagi rakyat dalam menentukan kerajaan pada peringkat negeri. Menurut beliau, rakyat harus mengetepikan sikap tidak endah untuk keluar mengundi demi masa depan negara.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan yang dibentuk disifatkan sebagai tidak harmoni, rakyat sendiri yang akan menerima akibatnya dan menderita selama satu penggal.

“Sepatutnya ramai yang keluar mengundi untuk menentukan masa depan mereka,” jelas beliau ketika ditemui oleh petugas media dan wartawan JendelaDBP selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit pada hari ini.

Tun Dr. Mahathir hadir bersama-sama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan kedua-kedua tokoh negara itu dilihat selesai membuang undi pada jam 9.22 pagi tadi.

Kehadiran negarawan itu mendapat perhatian orang awam yang berada di perkarangan sekolah tersebut kerana tetap melaksanakan tanggungjawab mengundi untuk pilihan raya negeri (PRN) meskipun baru selesai menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) pada minggu lepas.

Beliau memaklumkan bahawa kesihatannya berada pada tahap terbaik dan sudah pulih setelah mengalami demam sebelum dimasukkan ke IJN.

Sementara itu, beliau tetap berkeyakinan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan kekal berkuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15) kali ini. Beliau turut bernaggapan bahawa gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pula mempunyai peluang untuk mengekalkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertungkus-lumus bagi memastikan PRN-15 kali ini berjalan dengan lancar.

Tun Dr. Mahathir merupakan antara 1.56 juta warga Kedah yang layak mengundi pada PRN Kedah pada hari ini. Sebanyak 849 saluran dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melicinkan proses pengundian yang bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi