Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto : Khairul Azhar Baharudin
Sik – Calon Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhamad Sanusi Md Nor selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya kira-kira pukul 11:30 pagi tadi.
Beliau yang tiba bersama-sama isterinya, Datin Seri Jusmalailani Jusoh pada 11:00 pagi selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sambil melambai tangan kepada petugas media dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berada di perkarangan sekolah tersebut.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merupakan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri. Beliau mengundi di saluran dua itu, dilihat selesai mengundi kira-kira 20 minit kemudian dan turut beramah mesra dengan pengundi di pusat mengundi berkenaan.
Ketika ditemui oleh petugas media, Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata bahawa tidak sukar untuk gabungan tersebut menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15) pada kali ini.
“Saya tidak rasa gemuruh atau gementar,” ujar beliau ringkas. Bagi beliau kebiasaanya jika tidak ada perasaan seperti itu merupakan petanda kemenangan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kedah yang keluar mengundi dan ikutlah pilihan masing-masing kerana itu hak kita. Sebagai calon yang bertanding, saya harap parti saya akan meraih kemenangan,” ujar beliau.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam pertembungan dua penjuru dengan calon muka baharu gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), iaitu Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dato’ Seri Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri dengan majoriti sebanyak 2455 undi menewaskan pesaingnya, Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd. Nazri Abu Hassan (PH).
Sementara itu, Dato’ Seri Muhammad Sanusi kelihatan gembira dengan sentimen yang ditunjukkan oleh kebanyakan pengundi apabila keluar pada awal pagi dalam suasana pengundian yang berlangsung dalam keadaan yang tenang.
Ketika ditanya oleh petugas media, Dato’ Seri Muhammad Sanusi yakin gabungan itu bakal mencapai kemenangan pada malam ini. Sebagai rekod, DUN Jeneri mempunyai 35 079 pengundi berdaftar dengan lebih 90 peratus pengundi Melayu.