Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKredit foto: Rasul Manan
Padang Terap – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid selesai menunaikan tanggungjawab dengan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Naka pada pagi tadi. Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu tiba pada pukul 9.25 pagi bersama-sama isteri, Datin Seri Noraini Abdullah.
Beliau sempat beramah mesra dengan pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di DUN itu dan turut memberikan maklum balas kepada petugas media dengan menyatakan bahawa selama 14 hari tempoh berkempen, semua jentera parti berjalan dengan lancar dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Kita sudah bekerja siang dan malam untuk memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa PH-BN merupakan sebuah gabungan yang boleh membantu rakyat Kedah,” jelas beliau kepada sekumpulan petugas media yang menunggu seawal pukul 7:30 pagi di perkarangan sekolah tersebut ketika ditemui di sini pada hari Sabtu.
Beliau turut berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan di SK Naka. “Syukur, cuaca juga baik hari ini dan saya berharap agar para pengundi dapat keluar membuang undi di tempat yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Kedah jika gabungan PH-BN memenangi PRN-15 itu, sebelum ini pernah memenangi PRN bagi kerusi DUN Pedu pada tahun 2004 dan tahun 2008.