Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Baru Mergong – Pengundi muda yang berusia 40 tahun ke bawah dijangka menjadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 (PRN-15) yang akan berlangsung esok. Andaian ini dibuat berikutan kebanyakan golongan muda di negeri ini bekerja di kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Wisma Darul Aman menjadi tempat pengumuman rasmi pembentukan kerajaan negeri esok.

Pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) dijangka sengit dan malam ini kedua-dua parti gergasi tersebut dijangka melakukan “serangan” akhir demi memikat hati pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Tinjauan wartawan JendelaDBP di sekitar Bandar Baru Mergong, Alor Setar dan Sungai Petani mendapati pengundi di situ rata-ratanya berikrar akan memastikan akan berlaku perubahan, namun tetap merahsiakan parti mana yang akan dipilih oleh mereka esok.

Rashid Amin, 35 tahun yang ditemu bual berhampiran dengan Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan bahawa sudah tiba masanya golongan muda yang berhijrah sebagai perantau di luar negeri Kedah pulang dengan melakukan perubahan demi melihat kemajuan ekonomi negeri Kedah.

“Biarpun negeri Kedah kelihatan aman sentosa tanpa pergolakan kaum misalnya, namun terdapat beberapa masalah fundamental yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri seperti isu air dan kestabilan ekonomi sehingga kini,” jelas beliau yang bekerja sebagai juruteknik di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, pendapat rakannya yang turut berada di situ sedikit berbeza. Azhar Othman, 34 tahun menyatakan bahawa faktor Menteri Besar Kedah merupakan perkara yang tidak boleh dinafikan kerana kebanyakan anak muda yang tinggal di negeri ini amat menyenangi personaliti beliau sebagai pemimpin pada peringkat negeri dan disifatkan sebagai “berani kerana benar” dan tegas. “Beliau amat disenangi oleh seluruh lapisan masyarakat di negeri ini dan yang lebih penting ialah beliau antara pemimpin yang saya lihat begitu mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang baik,” ujar Azhar. 

Sementara itu, seorang petani yang ditemui menyatakan bahawa sebelum ini kecenderungannya ke arah PN, namun disebabkan oleh pemahamannya bahawa kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bergerak seiring dalam menentukan hal ehwal ekonomi negeri, beliau akan membuat keputusan yang tepat pada esok hari. “Saya sedar kerajaan negeri memerlukan jalinan hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan kerana golongan petani dan pesawah tidak mahu menjadi mangsa akibat tidak ada persefahaman dan kerjasama yang padu antara kedua-dua kerajaan,” ujar Rashid Raihan, 50 tahun ketika ditemui di Sungai Petani pada petang ini.

“Saya mengharapkan PH-BN akan membuat perubahan sekiranya mereka dipilih oleh rakyat Kedah esok,” ujar seorang akauntan, Rahimi Rafi, 45 tahun kerana beliau yakin bahawa PH-BN boleh menang apabila melihat kesungguhan gabungan Kerajaan Perpaduan, lebih-lagi lagi Kedah merupakan antara negeri tumpuan Perdana Menteri (PM) dalam kempen PRN-15 ini. “Malam ini PM akan turun dalam ceramah mega di Sungai Petani yang diharapkan dapat mengubah mentaliti rakyat Kedah pada hari penentuan esok, ujarnya lagi.

Seorang pengundi wanita, Mariam Mahmud 38, yang bertugas sebagai guru agama tidak terkejut sekiranya berlaku perubahan dalam pola pengundian pada kali ini kerana melihat banyak perubahan sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan hal tersebut diharapkan dapat mengalir ke negeri Kedah. “Kali ini saya melihat tidak ada sebarang isu yang membabitkan calon PH-BN kerana di sesetengah tempat terdapat beberapa isu membabitkan calon daripada PN, iaitu di Kota Seputeh, Kuah beberapa tempat lagi,” beritahu beliau.

Tinjauan kami juga mendapati bahawa antara kempen yang paling hangat diuar-uarkan termasuklah melibatkan kejatuhan Kerajaan Perpaduan yang dipercayai menjadi senjata akhir parti lawan. Kedah dikenali sebagai negeri yang  sering berubah-ubah dari segi pola pengundiannya dan hal tersebut boleh berubah secara drastik. Pada tahun 2013 misalnya, BN meraih kemenangan besar dan turut tewas secara mengejut pada tahun 2018.

Sebagai rekod, PN memenangi 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Menurut penganalisis politik Kedah, Profesor Dr. Mohd Azizuddin Sani, hal tersebut tidak boleh dijadikan sebagai indikator kerana PN hanya memenangi 54 peratus undi popular. “Bagi parti politik yang bertanding, mereka hanya memerlukan 19 kerusi untuk meraih majoriti mudah bagi pembentukan kerajaan negeri,” ujar beliau ketika dihubungi oleh wartawan JendelaDBP.

Kedah sebelum ini pernah menyaksikan berlakunya situasi yang menyebabkan DUN tergantung, iaitu seri 18-18 kerusi pada tahun 2018 sehingga memerlukan campur tangan pihak istana bagi meleraikan kemelut tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi