Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 19:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – “Dipuji tak goyah ditolak tak tumbang” begitulah antara kata pikat yang digunakan oleh calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 Negeri Selangor (PRN Selangor) untuk menawan hati pengundi muda. Seolah-olah sudah menjadi trend masa ini apabila calon parti yang bertanding menggunakan kata pikat untuk menarik perhatian atau memujuk hati para pengundi.

Istilah kata pikat atau pick-up line merujuk istilah dalam bidang sosiologi yang bermaksud komunikasi dengan niat untuk melibatkan orang yang tidak dikenali dengan menggunakan kata-kata atau ayat lucu dan romantik untuk menarik perhatian.

Ungkapan ayat seperti “Air dicencang tiada putus”, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, “Wanita sejahtera inspirasi keluarga”, “Perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran” dan “Setiap undi penting sebagai penentu nasib keluarga dan negara kita”, merupakan antara ayat yang menjadi pilihan calon untuk menarik perhatian pengundi.

Itulah juga antara strategi yang digunakan oleh sebilangan calon parti yang bertanding dalam PRN Selangor ke-15 pada kali ini. Mereka memilih kata-kata yang ringkas, tepat dan padat serta mempunyai unsur yang puitis agar mudah diingati dan disebut oleh para pengundi muda. Sesiapa sahaja akan tercuit hati apabila membaca keindahan kata-kata tersebut yang terpampang pada poster kempen di sepanjang jalan-jalan utama.

Hasil tinjuan di beberapa Dewan Undangan Negeri di Daerah Klang antaranya termasuklah di N.42 Meru, N.43 Sementa, N.44 Selat Klang, N.45 Bandar Baru Klang, N.46 Pelabuhan Klang, N.47 Pandamaran dan N.48 Sentosa mendapati bahawa kebanyakan poster kempen PRN Selangor ke-15 menggunakan bahasa Melayu.

Kempen yang dijalankan bukan sahaja melalui poster atau kain rentang bercetak, malahan calon yang bertanding juga tidak melepaskan peluang menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan TikTok untuk berkongsi tentang video kempen masing-masing. Perkara yang menarik adalah bukan sahaja calon Melayu, bahkan calon berbangsa Cina dan India juga cukup fasih berbahasa Melayu dan mengungkapkan bicara dengan penuh bersemangat untuk menawan hati para pengundi yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Terdapat juga sebilangan calon berbangsa Cina dan India yang membuat hantaran dalam media sosialnya menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan indah. Sudah tentu usaha ini harus dipuji kerana telah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat menyatupadukan rakyat. Lebih membanggakan kita sebagai rakyat Malaysia ialah debat dan analisis pilihan raya yang dipaparkan melalui televisyen juga turut menggunakan bahasa Melayu.

YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ahli Dewan Negara, yang juga merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Menurut Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Dr. Haji Awang bin Sariyan yang merupakan Ahli Dewan Negara yang juga merupakan mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tinjauan umum dan rambang terhadap poster dan kain rentang kempen PRN Selangor di Lembah Klang  menunjukkan peluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Semua calon dan parti yang bertanding umumnya menyampaikan mesej dan rayuan dalam bahasa Melayu. Perkara yang turut membanggakan ialah sikap dan tindakan yang merentas kaum, iaitu penggunaannya bukan sahaja dalam kalangan calon berbangsa Melayu bahkan calon bukan Melayu.

Menurut YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Haji Awang lagi,

Penggunaan bahasa Melayu pada poster dan bahan kempen yang lain menunjukkan tingkat kesedaran yang tinggi tentang pentingnya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan rakyat negara ini. Hal itu sekali gus mengurangkan sentimen perkauman kerana bahasa Melayu ialah bahasa bagi semua warganegara.

Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa bagi sejumlah kempen PRN dalam media sosial dan dalam ceramah agak mendukacitakan. Agak meluas penggunaan bahasa yang tidak sopan dan menyentuh hal peribadi. Hal ini tidak sihat dalam konteks pembentukan masyarakat yang berbudi bahasa, saling menghormati dan bersikap profesional. Kesan yang lebih buruk adalah kerana kempen PRN melibatkan calon yang akan menjadi pemimpin jika memenangi pilihan raya itu. Peranan sebagai suri teladan kepada masyarakat, terutamanya generasi muda tidak dapat dipenuhi oleh pemimpin yang tidak mengawal kesantunan bahasanya. Demikian, ujar YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Haji Awang.

Melalui temu bual dengan Encik Alex Leong Jun Wei, yang merupakan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+Bahasa) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, beliau berkata,

Penggunaan bahasa Melayu dalam poster PRN Selangor memperlihatkan komitmen parti untuk menyantuni masyarakat pengundi.

Encik Alex Leong Jun Wei, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+Bahasa) di PPD Petaling Utama.

Walaupun para pengundi telah mempunyai parti pilihan masing-masing, namun penggunaan bahasa dalam poster dalam menyampaikan manifesto parti masing-masing, sedikit sebanyak berupaya untuk menjentik pemikiran anggota masyarakat malah berkemungkinan akan mempengaruhi keputusan dan pilihan para pengundi. Di samping itu, pemilihan diksi dan penggunaan gaya bahasa yang berkualiti daripada parti tertentu turut menggambarkan keikhlasan dan mencerminkan kepercayaan serta kredibiliti parti berkenaan.

 

Menurut Alex Leong Jun Wei lagi, terdapat juga perbezaan penggunaan bahasa antara parti. Perbezaan yang paling ketara adalah seperti parti yang telah mapan dan berpengalaman memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih mantap dan berkualiti, sebaliknya parti yang baru ditubuhkan atau calon bebas pula memperlihatkan penggunaan bahasa yang agak terhad malah mengandungi kesalahan ejaan dan bahasa.

Encik Marimuthu a/l Sukathuvelu, guru bahasa Tamil, di SK Meru, Jalan TAP, Klang.

Selain itu, guru bahasa Tamil, di Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan TAP, Klang, Encik Marimuthu a/l Sukathuvelu pula berkata bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan rasmi di negara ini sejak merdeka. Penggunaan bahasa ini tidak terhad kepada domain tertentu sahaja. Jelas beliau, “Bahasa ini membawa pelbagai kesan positif dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Sebagai contoh, apabila kita menggunakan bahasa Melayu dalam urusan politik, iaitu semasa berkempen dan dalam ucapan politik, perkara tersebut bukan sahaja membuktikan lambang jati diri nasional yang utuh malah menjadi alat perpaduan supaya rakyat Malaysia terus bersatu padu di bawah satu bumbung”.

 

Menurut Encik Marimuthu a/l Sukathuvelu lagi,

Ciri-ciri bahasa Melayu itu yang mudah difahami, sudah pasti memudahkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk memahami dan menghayati maklumat yang hendak disampaikan.

Berdasarkan bancian Malaysia tahun 2020, jumlah penduduk di Daerah Klang adalah  sebanyak 1 088 942 orang, dengan kepadatan penduduk sebanyak 1724 orang per kilometer persegi dan dikategorikan sebagai taburan penduduk yang sangat padat. Separuh daripada penduduk di daerah ini merupakan kaum bumiputera, diikuti dengan kaum kedua terbesar, iaitu kaum Cina dan seterusnya kaum India.

Sebagai rekod, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kumpulan pengundi muda bagi had umur 18 tahun hingga 20 tahun ialah kumpulan yang paling ramai di Selangor, kedua tertinggi adalah di Kedah, iaitu 104,284 pengundi, di Kelantan (96 513), Pulau Pinang (67 633), Terengganu (64 264), manakala Negeri Sembilan (55 017). Bilangan pengundi muda berumur 18 tahun hingga 20 tahun di Selangor yang direkodkan adalah sebanyak 274 194 orang merupakan antara pengundi  yang paling ramai berbanding dengan pengundi di negeri lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos 2023 ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi