Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Calon wanita yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Perpaduan PH-BN mengintai peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 (PRN-15) esok.
PN membariskan lima calon dengan dua daripadanya merupakan mantan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), iaitu calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) N05 Bukit Kayu Hitam, Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sewaktu menggalas tugas tersebut, Dato’ Hajah Halimaton atau lebih dikenali dengan nama Kak Ton telah mengadakan “Inisiatif Wanita Bangkit”. Tujuan diadakan inisiatif ini adalah untuk membantu golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal dan balu untuk bangkit dan melatih mereka berdikari membangunkan ekonomi mereka sendiri. Selepas pandemik COVID-19, kebanyakan golongan wanita dalam keadaan yang tertekan. “Oleh sebab itu, kaedah ini telah membantu mereka agar kembali bangkit,” ujar beliau.
Beliau akan dicabar oleh Zainol Abidin yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu dalam saingan satu lawan satu di kerusi DUN N05 Bukit Kayu Hitam. Pertembungan ini boleh diumpamakan sebagai anak murid lawan guru kerana calon Gabungan PH-BN merupakan guru beliau sebelum ini ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.

Begitu juga dengan Dato’ Ustazah Siti Asyah calon PN di DUN N33 Merbau Pulas yang merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmi Kemiskinan berpotensi kembali memenangi dan menjawat jawatan tersebut.
Semasa menjadi EXCO, beliau telah merangka “Pelan Strategik Pembangunan Insan”. Antaranya termasuklah fokus dalam pembentukan rohani dengan menyediakan program yang bersifat mendidk seperti “Bicara Nur Ala Nur” dan “Karnival Kedah Sejahtera”, yang mengundang para ilmuwan berkongsikan nasihat dan ilmu.
PN juga meletakkan calon muka baharu meskipun berhadapan dengan nama besar. Hal ini dapat dilihat apabila Mardhiyyah Johari, iaitu Timbalan Ketua Pengarah 1 Ameerah Malaysia akan bertanding di DUN Pengkalan Kundor yang bertembung dengan penyandangnya, Dato’ Dr. Ismail Salleh.
Sementara di kem Gabungan Perpaduan PH-BN, mereka menyenaraikan tujuh calon, antaranya termasuklah Dr. Salmee Said yang merupakan penyandang di DUN N03 Kota Siputeh, Datuk Sabrina Ahmad di N06 Jitra, Wan Mohalina Wan Mohamad di N27 Pantai Merdeka, Suriati Che Mid (N32 Kuala Ketil), Nuraini Yusoff (N36 Bandar Baharu), Siti Balkis Husain (N20 Sungai Limau) dan N15 Anak Bukit, iaitu Nor Hasita Md Isa.

Dalam misi mempertahankan DUN Kota Siputeh, Dr. Salmee Said bakal berdepan dengan saingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan calon Bebas, Abdul Ramli.
Manakala, tugas getir bakal dihadapi oleh Datuk Sabrina Ahmad kerana beliau berhadapan dengan calon PN, iaitu Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Melihat pada statistik yang dikeluarkan oleh SPR, pemilih wanita di Kedah disifatkan sebagai antara yang paling tertinggi berbanding dengan pemilih lelaki, iaitu sebanyak 804 342 bersamaan dengan 50.74 peratus.