Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Hanya berbaki beberapa jam sahaja sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) Pulau Pinang menamatkan tanda tanya tentang calon yang berjaya membentuk kerajaan negeri bagi penggal ini.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat seawal pukul 8.30 pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang telah memulakan proses semakan isi peti undi yang akan diagihkan kepada pusat mengundi yang melibatkan sebanyak 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Persediaan akhir SPR Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang bagi memastikan proses pembuangan undi berjalan dengan lancar.

Persediaan akhir yang turut dibuat adalah memastikan kesemua kelengkapan dan peralatan yang akan digunakan pada hari pembuangan undi berada dalam keadaan yang baik. Kelengkapan dan peralatan tersebut akan diserahkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap tempat mengundi (saluran).

Bagi PRU DUN ke-15, sebanyak 3190 pusat mengundi dan 17 048 tempat mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian. Selain itu, sebanyak 153 760 petugas akan bertugas pada hari pembuangan undi yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2023.

Sebagai rekod, sebanyak 1 222 710 pengundi biasa bagi Pulau Pinang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari pembuangan undi yang dijangka bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, 12 Ogos 2023.

SJK (C) Hu Yew Seah merupakan antara pusat mengundi yang terletak di bawah N.28 Komtar.

Terdahulu, peratusan keluar mengundi awal yang dilaksanakan pada 8 Ogos 2023 bagi PRU ke-15 DUN Pulau Pinang telah mencatatkan peratusan sebanyak 95.01%, selain Kedah (96.02%), Kelantan (93.90%), Terengganu (95.91%), Selangor (95.87%) dan Negeri Sembilan (94.05%).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi