Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Kurang dari 24 jam sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat mengadakan semakan isi peti undi sebagai persiapan dan persediaan aktiviti akhir petugas SPR menjelang keesokan hari.
Menurut SPR, proses ini dihadiri oleh Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Penyelia Pusat Mengundi.
Semakan ini dilakukan berdasarkan senarai semak yang dikeluarkan oleh SPR. Proses semakan ini akan diakhiri dengan penyerahan kertas undi, dakwat pilihan raya kepada semua Ketua Tempat Mengundi.
Selepas proses semakan tersebut, semua dokumen dan peralatan termasuklah kertas undi dan dakwat akan dimasukkan ke dalam peti undi dan dimeterai.
Setakat tinjauan pada pagi tadi, antara persiapan yang dilaksanakan termasuklah menyusun peralatan proses semakan borang, dokumen dan status insolvensi yang akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Bagi pilihan raya kali ini, sebanyak 3190 pusat mengundi dan 17 048 tempat mengundi (saluran) dibuka untuk tujuan pengundian.
SPR turut memaklumkan bahawa sebanyak 153 760 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini.






Dalam kenyataan media SPR, dilaporkan hampir 10 juta pengundi biasa akan menjalankan tanggungjawab untuk membuang undi yang melibatkan enam buah negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, sebanyak 97 388 tentera, polis dan pasangan masing-masing terlibat dalam undi awal pada 8 Ogos yang lalu.
Pusat pengundian akan dibuka mulai pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.
Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi MySPR Semak.
SPR mengadakan siaran langsung menerusi laman Facebook, YouTube dan TikTok untuk tontonan rakyat Malaysia agar dapat melihat sendiri proses Pilihan Raya yang dilaksanakan secara langsung pada enam buah negeri terlibat dan bertanyakan soalan-soalan tentang pilihan raya semasa siaran langsung tersebut.