Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto: PLUS Malaysia Berhad

Kuala Lumpur – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik hampir 1.9 juta kenderaan sehari bermula hari ini bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang bakal berlangsung pada hari esok.

Menurut Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Encik Mohd Yusuf Abdul Aziz, orang ramai dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota dalam tempoh PRN ini.

Pengguna lebuh raya juga perlu bersedia menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang berbanding dengan hari-hari biasa berikutan peningkatan kenderaan di lebuh raya.

Pengguna lebuh raya digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan sebelum menyambung semula perjalanan.

Encik Mohd Yusuf Abdul Aziz juga menyatakan bahawa pihak PLUS menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 hingga 13 Ogos 2023, kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja pembaikan yang kritikal.

Selain menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan, pengguna lebuh raya juga disaran untuk mengikuti laporan trafik menerusi Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, talian PLUSLine di 1800-88-0000, dan melalui stesen-stesen radio tempatan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi