Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto : Khairul Azhar Baharudin, DBP
Alor Setar – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengakhiri kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) di Sungai Petani, Kedah pada Jumaat (esok), sehari sebelum hari mengundi yang dijadualkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Ogos.

Sebelum itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah menjelajah ke beberapa buah daerah di negeri ini sebagai lokasi kempen dan malam esok merupakan kempen jelajah terakhir yang dikenali sebagai grand finale.
Melihat pada komposisi jumlah kerusi yang dimiliki oleh kedua-dua parti pasca Pilihan Raya Umum ke-14, ceramah mega ini dilihat sebagai kempen jelajah terakhir pimpinan tertinggi PH dan Barisan Nasional (BN) untuk berkempen di negeri yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya Kedah yang menjadi sasaran untuk dimenangi oleh parti masing-masing.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan memulakan program di Langkawi dengan merasmikan Geopark Discovery Centre (GDC) pada pukul 10.30 pagi, disusuli dengan kenduri rakyat bertempat di GDC, Kulim Geoforest Park.
Seterusnya beliau akan ke Pulau Pinang untuk jamuan makan tengah hari dan beramah mesra dengan penduduk setempat di Gulai Kalut Hot Stall, sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Kampung Perlis.
Selepas itu, kempen “Jelajah Perpaduan MADANI” diteruskan di Parlimen Padang Terap untuk memberikan peluang masyarakat sekitar mendengar amanat Perdana Menteri yang dijadualkan diadakan di Tapak Nat, Pekan Naka, Kuala Nerang pada pukul 5:00 petang.
Perdana Menteri kemudian akan berjumpa masyarakat setempat di Taman Hidayah, Hutan Kampung untuk ceramah kedua. Sebelum mengakhiri kempen jelajah, beliau dijangka akan singgah di Tapak Pasaraya Aneka Gurun, sebelum meneruskan ceramah grand finale di Sungai Petani yang dijadualkan bermula pada pukul 8:30 malam (esok).
Tinjauan yang dilakukan oleh wartawan JendelaDBP di sekitar Bandar Baru Mergong, menyaksikan kempen PRN-15 khususnya di Kedah semakin hangat berikutan kebanyakan golongan muda berpusu-pusu ke bilik gerakan parti masing-masing untuk membuat semakan daftar pengundian. Selain penggunaan dialek negeri, slogan bahasa Melayu tetap diutamakan dalam setiap paparan poster calon.