Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin dan Mohamad Adib Zulkifli
Kuala Lumpur – Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bukan hanya menjadi sebuah kumpulan titah dan penulisan, malah merupakan sebuah korpus ilmu yang mempunyai struktur dan kaedah yang bersistem.
Perkara itu disebut oleh Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican semasa menjawab persoalan daripada Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang bertindak sebagai pemudah cara dalam Wacana Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan yang juga merupakan ahli panel dalam wacana tersebut berkata bahawa titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersifat rentas dan meliputi pelbagai pokok perbincangan seperti sosiopolitik, pendidikan, agama dan tadbir urus.
Tambah beliau,
Karya Tuanku ini merupakan sebuah pemaduan buah fikir yang cukup segar dan menampilkan kekuatan daya intelektual serta disokong oleh kekuatan unsur bahasanya.
Menyentuh tentang aspek bahasa dan linguistik, seorang lagi ahli panel, Dato’ Halimah Said juga mendapati bahasa yang digunakan oleh baginda amat teratur dan menyerlah dari segi pemilihan perkataan serta ungkapan dan perkara tersebut benar-benar melambangkan kejelasan pemikiran baginda.
Tiga tokoh yang merupakan ahli panel undangan yang sememangnya cukup dikenali dengan kepakaran masing-masing dalam bidang falsafah, pemikiran dan bahasa ini turut berpeluang untuk berkongsi tentang titah kegemaran daripada buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini.
Selain itu, antara perkara lain yang dibahaskan dalam wacana ini termasuklah kedudukan dan peranan raja sebagai Raja Berperlembagaan yang bertindak atas nasihat kerajaan semasa (government of the day) terutamanya selepas menghadapi kemelut politik negara dalam lima tahun belakangan ini.

Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengandungi 35 buah titah baginda yang dizahirkan antara 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022 dan terbahagi kepada empat bahagian, iaitu Institusi Raja; Tadbir Urus; Agama Islam; dan Masyarakat dan Budaya.
Sebagai catatan, buku ini merupakan siri lanjutan daripada buku Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021 dan mengandungi titah baginda yang menzahirkan pendirian, pemerhatian, teguran dan nasihat kepada para pemimpin dan rakyat jelata.
Pada penghujung sesi wacana, Tan Sri Mohd Annuar Zaini sempat menyatakan hasrat agar pihak DBP dapat menerbitkan semula majalah Dewan Masyarakat Bil. 12/2021 yang menyiarkan artikel Suara dari Singgahsana hasil tulisan Profesor Madya Dr. Jeniri Amir, iaitu sebuah penulisan analisis terperinci yang kemas tentang 37 titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah daripada buku siri titah baginda yang pertama.
