Diterbitkan pada 1 Ogos 2023, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Menteri Pendidikan’ Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin hari ini melancarkan Program Sulung 2.0 Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) di Bilik Mesyuarat Naib Canselor UUM Sintok, Kedah.

Sebelum majlis pelancaran berlangsung, beliau berkesempatan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Naib Canselor UUM, YBhg. Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan.

YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar UUM sempena program tersebut.

Program Sulung 2.0 UUM merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memberikan peluang dan kemudahan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Program Sulung 2.0 peringkat UUM ini melibatkan sebanyak 388 penerima dalam  kalangan pelajar B40 dari pelbagai kaum dan bangsa.  Setiap pelajar dibiayai sebanyak RM833 untuk setiap semester, menjadikan jumlahnya RM4998 setiap seorang sepanjang enam semester pengajian.

Pada majlis pelancaran itu, sebanyak 10 orang menerima sumbangan untuk semua bidang pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana Muda.

Bersempena dengan  program tersebut, UUM turut menerima sumbangan dari pihak tertentu menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd. (UECSB) diwakili Dr. Mohd Herry Mohd Nasir menyerah replika cek berjumlah RM1.5 juta kepada Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan disaksikan Mohamed Khalid Nordin.

Sehubungan dengan itu, anak syarikat UUM, Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd (UECSB) turut menyerah hasil royalti RM1.5 juta kepada UUM untuk membiayai Program Sulung 2.0 itu.

Selain itu, Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), YBhg. Dato’ Prof Dr. Nasrudin Mohammed turut menyerah replika cek berjumlah RM109 000.

Sementara itu, Prof Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, pihaknya gembira kerana YB Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin juga berpeluang merasmikan Pusat Mahasiswa Istimewa atau dikenali sebagai ILC PERMAI sempena lawatan ke UUM. ILC ialah Independent Living Centre yang dibangunkan di bawah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi