Diterbitkan pada 29 Julai 2023, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Prestasi kerja boleh ditafsirkan sebagai tingkah laku berkaitan dengan pencapaian dengan beberapa komponen penilaian yang berkaitan. Prestasi kerja yang baik dan optimum pastinya dapat meningkatkan produktiviti serta hasil kejayaan kepada sesebuah organisasi tersebut.

Sebaliknya, prestasi kerja yang tidak cekap biasanya dikaitkan dengan hasil produktiviti, keuntungan, dan keberkesanan organisasi yang lebih rendah. Oleh itu, untuk meningkatkan prestasi kerja, adalah penting untuk kita mengenal pasti faktor berbeza yang boleh mempengaruhinya secara positif. Antara faktor yang dikenal pasti ialah persekitaran kerja dan sokongan sosial termasuklah sokongan moral seperti pemimpin, rakan sekerja dan persekitaran organisasi itu sendiri.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Ulu Pauh Perlis baru-baru ini.

DYMM Pemangku Raja Perlis (kiri) berkenan menyantuni golongan asnaf.
DYMM Pemangku Raja Perlis (duduk, kiri) bergambar kenang-kenangan sempena Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli.

 

 

 

 

 

 

 

Baginda turut bertitah bahawa secara umumnya, gaya kepimpinan dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kepimpinan positif dan kepimpinan negatif. Gaya kepimpinan positif adalah seperti kepimpinan yang teratur, berstruktur kemas serta baik; manakala gaya kepimpinan negatif pula adalah seperti kepimpinan yang lemah, menekan pekerja secara tidak baik atau menjurus kepada “buli” pekerja. Secara amnya, kepimpinan positif akan memberikan kesan yang positif kepada prestasi termasuklah hasil kerja dan begitulah sebaliknya.

Hadir sama mengiringi DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan usahawan dari Pulau Pinang, Steven Ooi.

Kayuhan sejauh 12 kilometer itu melewati Kampung Ulu Pauh, Kampung Bukit Emas, Jalan Cikgu Ali dan Kampung Lalang.

DYMM Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra (tengah) Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf terpilih.

Sempena program ini, tiga asnaf terpilih telah menerima bantuan sumbangan yang bernilai RM700 setiap seorang dan juga bantuan “Kit MAIPs Peduli” yang merupakan beras fidyah serta bahan makanan mentah untuk keluarga mereka.

Individu tersebut ialah Khalid Hassan, 64 tahun, Md Rohki Yahaya, 57 tahun dan juga Mohd Fazil Zainol, 56 tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi