Diterbitkan pada 25 Julai 2023, 22:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Setiap pemimpin bertanggungjawab dalam memastikan imej dan kredibiliti penjawat awam sentiasa berada pada tahap yang memuaskan dan dipandang tinggi.

Ketua jabatan mahupun agensi seharusnya memainkan peranan dan menjalankan kawalan penuh, termasuklah pengawasan tatatertib terhadap semua pegawai dan kakitangan masing-masing dengan penuh berintegriti.

“Sebarang pelanggaran peraturan atau tatakelakuan harus diambil tindakan segera selaras dengan Peraturan-Perataturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Negeri Perlis 1993,” titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail agar perkhidmatan awam terus berdedikasi, khususnya penjawat awam di negeri Perlis.

Menurut baginda, elemen penambahbaikan dan nilai yang baik harus diterapkan pada setiap masa agar pegawai dan kakitangan mempunyai kompetensi serta kredibiliti dalam usaha membantu organisasi masing-masing mencapai visi dan misi ditetapkan.

Pegawai yang terbaik sahaja wajar berada dalam perkhidmatan awam negeri Perlis untuk memberikan perkhidmatan yang baik.

Maka demikian, penjawat awam negeri ini akan sentiasa disegani dan diteladani atas perkhidmatan dan nilai murni yang ditunjukkan.

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Sentua, Utan Aji, Kangar, hari ini.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyantuni tiga buah keluarga asnaf terpilih di Kampung Sentua, Utan Aji, Kangar, baru-baru ini.

Sebanyak RM700 sumbangan zakat MAIPs diberikan kepada keluarga asnaf secara tunai dan juga barang keperluan harian seperti Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah. Antara penerima sumbangan, termasuklah Encik Idrus Baharum, 63 tahun; Encik Abu Hassan Ahmad, 69 tahun; dan Encik Mohd. Yaser Mohd. Kassim, 39 tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi