Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Nilai – Kepimpinan pendidikan dalam mencemerlangkan sekolah, khususnya aspek kemenjadian murid yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi cabaran pendidikan terkini, khususnya bagi seorang guru.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharrudin Haji Ghazali, pembentukan sistem pendidikan negara yang baik lahirnya daripada pemimpin yang mengamalkan kepimpinan autentik.
Pemimpin autentik merupakan mereka yang tidak mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Hakikatnya bukan sekadar mengajar membaca, menulis dan mengira, malah kepimpinan pendidikan menjadi penentu kejayaan dalam usaha melahirkan generasi yang beradab, berakhlak dan berintegriti.
Demikianlah antara inti pati beliau dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Nasional ke-30 (SN30) Kepimpinan Pendidikan ke Arah Malaysia MADANI anjuran Institut Aminuddin Baki (IAB) di Auditorium Perdana IAB, Bandar Estek, Negeri Sembilan pada petang tadi.
Sementara itu, Dato’ Haji Pkharrudin berkata, penganjuran seminar ini sejajar dengan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha mengangkat karamah insaniah, di samping menjadi wacana akademik bagi pemimpin pendidikan dalam usaha memugarkan ilmu kepimpinan dan pengurusan pendidikan demi kelangsungan pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Pengarah IAB, Puan Rohayati Abd. Hamed berkata, seminar ini merupakan agenda tahunan untuk pemimpin dan pengurus organisasi pendidikan berkongsi pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan pada era baharu.
SN30 juga turut membincangkan bahawa isu dan cabaran terkini pendidikan bagi mengenal pasti sokongan yang diperlukan dan memperkasa Institut Aminuddin Baki sebagai pusat rujukan bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan.
Untuk rekod, SN30 telah mengumpulkan sebanyak 50 pembentang hasil daripada 350 orang peserta bersemuka dan 6000 penyertaan dalam talian yang terdiri daripada pengetua, guru besar, pemimpin pertengahan sekolah, pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, pengarah institut pendidikan guru dan pensyarah Kolej Matrikulasi.
Sumber foto: Adib DBP.