Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Universiti Teknologi MARA (UiTM) amat bertuah kerana Alumni Look East Policy Society (ALEPS) dan Japan Business Ability Authorize Association (JBAA) menerusi JM Business Ethics Consultancy Sdn. Bhd. telah berbesar hati memberikan tajaan.
Untuk rekod, UiTM merupakan universiti pertama di Malaysia yang ditawarkan pensijilan JBA, malah antara institusi yang menerima tajaan yang paling tinggi berbanding dengan universiti awam dan swasta lainnya.
Sebanyak RM25 000.00 tajaan diterima dalam bentuk yuran peperiksaan yang bernilai RM15 000.00 dan buku teks bernilai RM10 000.00 kepada 91 orang pelajar Akademi Pengajian Bahasa (APB), empat orang pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dan lima orang pensyarah Unit Bahasa Jepun, Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam melalui program pensijilan Japan Business Ability Proficiency Examination Grade 4 atau singkatannya JBA (Japan Business Ability).

Presiden ALEPS, Encik Isrami Ismail berkata, pensijilan JBA merupakan ujian perintis untuk menggalakkan kesedaran dan pemahaman tentang budaya dan etika kerja unik masyarakat Jepun dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selain itu, UiTM juga merupakan universiti awam terbesar dan tersohor di Malaysia yang mampu mempromosikan pensijilan JBA lebih jauh lagi.
Dengan adanya pelaksanaan program ini, anak-anak dapat memberikan pendedahan tentang masyarakat Jepun selain menambah pengetahuan tentang pemikiran, budaya, cara perniagaan dan etika profesional masyarakat Jepun. Hal ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada murid untuk terus mencari peluang pekerjaan terutamanya di syarikat atau negara Jepun.
Demikianlah ucapan beliau dalam program yang berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam pada petang kelmarin.
Majlis pembukaan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Khidmat Jabatan Bahasa Asia dan Eropah, Profesor Madya Dr. Normah Ahmad dalam majlis pembukaan, manakala majlis penutupan pula disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Nor Fazlin Mohd Ramli, yang mewakili Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Profesor Ts. Dr. Janudin Sardi.
Yang turut hadir bersama ialah Pengarah JM Business Ethics Consultancy Sdn. Bhd., Encik Alvin Ng Chee Hock.
Mengulas lanjut, program pensijilan yang dibiayai sepenuhnya oleh ALEPS dan JBAA ini merupakan pensijilan gred asas mengenai adab perniagaan asas Jepun. Matlamatnya adalah untuk memahami orang Jepun dan masyarakatnya, serta adab dan tabiat semasa bekerja di Jepun atau syarikat Jepun.
Peperiksaan JBA mempunyai empat gred, iaitu Gred 1 hingga Gred 4. Peperiksaan Gred 3 dan Gred 4 JBA dilaksanakan di Malaysia sejak tahun 2019. Sijil akan diberikan dan markah lulus ialah 70 peratus. Yang menariknya, sijil JBA ini tidak mempunyai tarikh luput.
APB juga berharap agar budaya dan etika kerja masyarakat Jepun yang dipelajari dapat diterapkan ke dalam diri warga dan pelajar APB. Kerjasama yang terjalin antara APB dengan ALEPS, serta JBAA ini diharapkan bakal menjadi satu daripada platform yang bermanfaat kepada semua pihak ke arah kegemilangan masyarakat MADANI, seterusnya membuahkan ketampakan APB pada peringkat global.