Diterbitkan pada 15 Julai 2023, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gemas – “Diharap agar semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, amanah dan bertanggungjawab”, demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Brigedier Jeneral, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu berkenan berangkat menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023 yang berlangsung di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, pada hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeian Jantan; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid.

Keberangkatan tiba Pemangku Raja Perlis sewaktu menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023 yang berlangsung di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan kepada Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bahawa objektif Latihan Kuasa Tembakan 2023 adalah untuk mempamerkan keupayaan kombat tim dalam ketumbukan gabungan penggempur melalui manuver dan kuasa tembakan yang melibatkan persenjataan infantri, perisai (armour), artileri dan mekanize pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pemangku Raja Perlis (kanan) tiba di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Latihan Kuasa Tembakan ini juga dapat memberikan pendedahan mengenai kebolehan manuver dan kuasa tembakan dari sistem persenjataan yang sedia ada dalam Angkatan Tentera Malaysia. Secara tidak langsung, latihan ini dapat menilai tahap kompetensi anggota tentera yang terlibat dan menguji keupayaan pengurusan pasukan dalam melaksanakan latihan yang melibatkan tembakan peluru dan bahan letupan yang sebenar.

Menurut Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid lagi,

Latihan Kuasa Tembakan ini juga dilaksanakan untuk memenuhi keperluan modul akademik ketenteraan bagi kursus pemerintahan dan staf Malaysia. Langkah ini juga secara tidak langsung dapat menguji TDM khasnya, dan ATM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Pemangku Raja Perlis turut bertitah,

Semoga setiap inci keselamatan negara akan terus dijaga dengan rapi, antaranya termasuklah di setiap perairan, ruang udara dan juga sempadan negara.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga  merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut diiringi oleh 13 orang Pegawai dan 92 Anggota Lain-lain Pangkat Sukarela dan Tetap, antaranya termasuklah Timbalan Komander Leftenan Kolonel Lasahi Laiji. Pada akhir program tersebut, DYMM Pemangku Raja Perlis tidak melepaskan peluang membuat tembakan dari kereta perisai 30 mm CamGun 8 x 8 GEMPITA.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar kenang-kenangan bersama-sama 13 orang Pegawai dan 92 Anggota Lain-lain Pangkat Sukarela dan Tetap.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi