Diterbitkan pada 13 Julai 2023, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Kedudukan geografi Perlis yang bersempadan dengan negara jiran memberikan kelebihan dari segi ekonomi namun pada masa yang sama, aspek keselamatan dan kawalan sempadan perlu sentiasa diberi perhatian.

Permohonan yang dibuat daripada pelbagai jabatan dan agensi berhubung prasarana dan operasi keselamatan di kawasan sempadan Perlis-Thailand diharapkan mendapat pertimbangan positif daripada kerajaan pusat agar risiko dan aktiviti jenayah dapat dicegah khususnya di Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Masjid Darus Salam Ban Na Padangbezar, Sadao, Thailand bersempena dengan program “Kayuhan MAIPs Peduli” baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Imam Walad Tohir dan disaksikan oleh Mayor Kawasan Luar Bandar Padangbezar, Encik Korib Hamusa serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan sumbangan kepada Imam Walad Tohir di Masjid Darus Salam Ban Na Padangbezar, Sadao, Thailand.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar inisiatif yang diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi projek rintis larangan jualan minyak RON95 bersubsidi dan diesel ke atas kenderaan asing dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan bakar tersebut ke negara jiran.

Inisiatif ini yang mula dilaksanakan di Perlis sejak beberapa bulan yang lalu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan bantuan padu daripada masyarakat setempat di negeri ini yang tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa secara sukarela.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi