Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Pusat Sumber Sekolah, SMK Raja Perempuan Kelsom telah menganjurkan Bengkel Komunikasi Digital bersempena dengan sambutan Bulan Galakkan Membaca dan Program NILAM 2023/2024, baru-baru ini yang bertujuan untuk memantapkan kualiti keberhasilan dan kemenjadian murid.
Bengkel tersebut melibatkan pelajar tingkatan dua yang memfokuskan tentang kaedah penghasilan karya yang baik dengan menjadikan produk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu majalah Dewan Siswa dan portal JendelaDBP sebagai rujukan kepada para pelajar. Satu daripada penceramah undangan bengkel ini, iaitu Encik Sallehuddin Ibrahim, merupakan pengasas program Kembara Bacaton.

Pada sesi pertama bengkel, peserta telah diberikan panduan untuk menerapkan minat menulis serta memanfaatkan semangat membaca sebagai syarat untuk menghasilkan karya. Sesi penghayatan metafora telah dilaksanakan melalui aktiviti membuat sampan menggunakan kertas A4. Tayangan video pilihan pula bertujuan untuk membantu peserta memahami teknik penulisan melalui kaedah baca dan tonton (Bacaton).
Menurut Encik Sallehuddin Ibrahim, peserta turut diberikan tempoh selama dua minggu untuk menghasilkan karya kreatif, iaitu puisi bertemakan “Ayah”. Kesemua puisi tersebut telah diserahkan kepada Pengetua SMK Raja Perempuan Kelsom, Puan Norizan Mohamed Ramli, baru-baru ini.
Tambah beliau, perbincangan telah diadakan dengan pihak sekolah untuk mengadakan aktiviti sesi kedua, iaitu lawatan ke lokasi pengkaryaan. Aktiviti ini akan melibatkan pelajar yang mewakili sekolah dalam penganjuran Kembara Bacaton peringkat daerah yang melibatkan penyertaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pelbagai pihak.
Oleh itu, bersempena dengan program Kembara Bacaton Peringkat Negeri Perak, Taiping dan Kuala Kangsar telah dicadangkan sebagai lokasi untuk lawatan ke tempat pengkaryaan bagi melaksanakan usaha menyemarakkan minat menulis dan berkarya dalam kalangan pelajar.