Diterbitkan pada 8 Julai 2023, 21:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duta Besar Malaysia ke Thailand, Tuan Yang Terutama Dato’ Jojie Samuel melahirkan rasa penghormatannya kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas inisiatif menyantuni asnaf di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis melalui Program Kayuhan MAIPs Peduli, baru-baru ini.

Antara asnaf yang disantuni dalam Program Kayuhan MAIPs Peduli baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan rasa kagum kepada Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan meluangkan masa berangkat singgah ke rumah asnaf untuk menyampaikan sendiri bantuan yang diperuntukkan.

Beliau hadir mengiringi Tuanku Pemangku Raja Perlis bersama-sama ketua pelbagai agensi di Pejabat Perwakilan Malaysia di Bangkok dalam program berbasikal tersebut sebagai sebahagian daripada jadual lawatan kerja selama dua hari di Perlis.

Mewakili delegasi Bangkok tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada ketiga-tiga asnaf yang disantuni.

Ahli delegasi Bangkok yang menyertai program ini turut berasa terharu apabila kehadiran mereka disambut mesra oleh penduduk kampung hingga ada yang mempelawa mereka dengan laksa istimewa Kuala Perlis.

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama delegasi dari Bangkok meninjau suasana di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai di Kuala Perlis, Perlis.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan harapan agar hubungan baik antara Malaysia khususnya negeri Perlis dengan Thailand akan terus berkekalan dan lebih banyak kerjasama dapat dijalankan pada masa hadapan.

Untuk catatan, projek Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai merupakan ilham Pemangku Raja Perlis dan anakanda sulung Baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dengan sokongan MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, beberapa agensi dan pihak swasta serta masyarakat setempat.

Cetusan idea transformasi kampung nelayan ini memberikan nafas baharu kepada penduduk setempat dan menjadikan kampung mereka semakin bersih hingga mampu menjadi tumpuan para pelancong.

Selain boleh menyewa basikal, beca atau “choley”, para pengunjung kini juga boleh menyewa kereta golf atau buggy untuk ke Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi