Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Duta Besar Malaysia Ke negara Thailand, Datuk Jojie Samuel mengingatkan masyarakat agar mengekalkan kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi keamanan dan keselamatan serantau.
Malaysia dan Thailand bernasib baik kerana berada di Asia Tenggara, iaitu sebuah wilayah yang pelbagai dari segi sejarah dan budaya yang diberkati dengan banyak sumber semula jadi. Ini bukan tempat untuk konflik.
Malaysia adalah jiran yang baik dan rakan kongsi yang baik. Kami komited untuk bekerjasama dengan Thailand untuk mengukuhkan kerjasama dua hala untuk faedah bersama, dan membawa hubungan ini ke hadapan.
Jelas Tuan Yang Terutama Jojie dalam menyampaikan syarahan umum di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra pada petang semalam.
Dalam syarahan tersebut, beliau turut menyentuh tentang hubungan kepentingan dua hala antara Malaysia-Thailand berkaitan dengan sektor pelancongan, perkembangan politik, serta keadaan semasa di Selatan Thailand.
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis syarahan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Yusoff Mashor serta pegawai-pegawai utama universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor UniMAP turut berkenan berangkat singgah bersama-sama delegasi daripada Kedutaan Besar itu melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP. Mereka berasa amat kagum dengan seni bina yang unik, suasana dan teknologi perpustakaan itu yang maju dari segala segi serta memudahkan pelajar untuk menjalani proses pembelajaran mereka.
Datuk Jojie amat memuji segala inisiatif yang dilaksanakan oleh Tuanku Pemangku Raja yang mengilhamkan pelbagai inisiatif menarik untuk hubungan dua hala antara Malaysia, khususnya Perlis dan Thailand.
“Semoga usaha ini dapat terus dikekalkan dan akan memberikan lebih banyak kebaikan serta impak terutamanya kepada negeri Perlis dan rakyatnya.”
Sebelum itu, Datuk Jojie turut mengadakan satu perbincangan strategik bersama dengan institusi pendidikan tinggi yang beroperasi di Perlis, seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Cawangan Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Politeknik Tuanku Syed Sirajudduin (PTSS), Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) khususnya dalam membantu mengembangkan bahasa Melayu dan tulisan jawi di negara Thailand.