Diterbitkan pada 2 Julai 2023, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang  Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa isu kekurangan bekalan mengajar kita tentang kepentingan melaksanakan sekuriti makanan negara.

Antara tunggak bagi sekuriti makanan termasuklah yang pertama, iaitu “ketersediaan makanan”, yang bermaksud ketersediaan kuantiti makanan yang mencukupi dan berkualiti yang dibekalkan melalui pengeluaran domestik atau import.

Kedua, “akses makanan”, iaitu akses kepada sumber makanan yang mencukupi oleh individu; ketiga, “penggunaan”, iaitu penggunaan ke atas makanan yang lengkap secara berterusan dan mudah diperolehi dan mempunyai sumber air yang bersih.

Selain itu, perkara keempat ialah “kestabilan”, iaitu memastikan sekuriti makanan, yakni individu atau isi rumah mempunyai akses kepada makanan sepanjang masa.

Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini selepas baginda berkenan menyampaikan sumbangan
berjumlah RM5000 kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia.

Menurut laporan tersebut, Konsul Malaysia, Puan Azizah Abd Aziz yang hadir bersama-sama Pegawai Perhubungan Polis DiRaja Malaysia (MPLO) ASP Ahmad Shahir Abdullah menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Kabupaten Deli Serdang, 26 kilometer ke arah timur dari pusat kota Medan untuk menerima sumbangan tersebut daripada DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi pihak pejabat konsulat itu.

Sumbangan berkenaan adalah untuk tujuan Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di Sumatera Utara untuk diamanahkan melalui budi bicara pihak pejabat konsulat itu.

Turut berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi