Diterbitkan pada 27 Jun 2023, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diraikan dalam Majlis Penyampian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 dan Anugerah Perkhidmatan (AP) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada hari ini. Majlis penyampaian ini disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha KPM bergambar bersama-sama penerima AP dan APC 2022.

Dalam majlis ini, sebanyak 150 orang karyawan DBP telah menerima penghargaan atas perkhidmatan cemerlang yang diberikan, iaitu sebanyak 86 orang penerima AP dan 96 orang penerima APC.

YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha KPM sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyampian AP dan APC 2022.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha KPM berkata, “Majlis apresiasi ini dapat dijadikan sebagai simbol penghargaan DBP kepada pegawainya yang telah membuktikan kecemerlangan dan kesetiaan terhadap DBP selain mempunyai disiplin yang baik melalui pelibatan dalam pelbagai kegiatan luar.”

Dalam bekerja, kreativiti adalah penting. Kecemerlangan DBP terletak pada kehebatan warganya. Kreativiti merupakan aset utama yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Jadi kita kena ingat, jika runtuhnya nilai dalam organisasi akan menyebabkan pelbagai kepincangan dalam organisasi berlaku, contohnya seperti penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

Selain itu, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin juga berharap agar penghargaan ini dapat dijadikan sebagai contoh dan daya penarik kepada pegawai lain untuk bersama-sama meningkatkan taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi dan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pekerja untuk bersama-sama bertekad memajukan diri dan organisasi.

Dalam majlis tersebut juga turut diadakan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP; dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki bin Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN; dan disaksikan oleh YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi, Ketua Setiausaha, KPM; YBrs. Encik Zainal bin Abas, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, KPM; YBrs. Tuan Haji Razali bin Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP; dan YBrs. Puan Wan Zawiyah binti Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, PTPTN.

Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan PTPTN.

Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan PTPTN ini merupakan kerjasama yang diadakan untuk membudayakan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi seluruh warga DBP melalui pelbagai program promosi produk, program sahabat PTPTN, kolaborasi program tanggungjawab sosial korporat, dan inisiatif lain yang berkemungkinan dapat diusahakan bersama-sama.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata:

Sebenarnya satu daripada produk PTPTN, iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime akan menjadi satu daripada bentuk pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang DBP mulai tahun ini selain daripada Sijil Perkhidmatan Cemerlang. Langkah ini diharap dapat memupuk sikap menabung bagi tujuan pendidikan anak-anak, di samping memberikan manfaat lain seperti dividen, pelepasan cukai, perlindungan takaful, geran sepadan percuma, patuh syariah, dan simpanan yang dijamin oleh kerajaan.

 

YBrs. Tuan Haji Md. Johari bin Hasan juga berharap agar pengiktirafan AP dan APC ini dapat dijadikan sebagai contoh serta memberikan pengaruh kepada amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan berinovasi dalam kalangan warga DBP.

AP DBP telah diwujudkan pada tahun 1970 dan merupakan penghargaan DBP kepada staf yang menunjukkan kesetiaan untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik kepada DBP. Kriteria pemilihan adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan staf yang telah berkhidmat selama 15, 20, 25, 30, 35 dan 37 tahun dan tertakluk pada syarat yang tertentu.

Kesemua 86 orang orang penerima AP tersebut menerima sijil penghargaan dan sijil simpanan premium mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing. Perkhidmatan 15 tahun (sijil simpanan premium RM200.00); perkhidmatan 20 tahun (sijil simpanan premium RM350.00); perkhidmatan 25 tahun (sijil simpanan premium RM500.00); perkhidmatan 30 tahun (sijil simpanan premium RM750.00); perkhidmatan 35 tahun (sijil simpanan premium RM1000.00); dan perkhidmatan 37 tahun (sijil simpanan premium RM5000.00).

Sementara itu, APC merupakan penghargaan daripada kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang.  Anggota yang layak dipertimbangkan untuk diberikan APC ialah anggota dalam semua kumpulan, gred dan kategori yang dilantik untuk berkhidmat secara tetap, sementara atau kontrak. Pemilihan adalah berdasarkan garis panduan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2012 dan juga kriteria tambahan pemilihan penerima APC DBP yang ditetapkan oleh Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia DBP.

Kesemua 64 orang penerima APC 2022 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Hadiah Prestasi sebanyak RM1000.00 dan diberikan peluang dalam pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran persekutuan dan negeri.

Karyawan DBP dan tetamu undangan yang menghadiri Majlis Penyampaian AP dan APC 2022.

Sebelum mengakhiri ucapan, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi turut berpesan kepada seluruh warga DBP agar bijak menyeimbangkan antara kehidupan dengan kerjaya kerana perkara ini merupakan titik tolak kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang individu dan seterusnya mampu membantu DBP mengharungi pelbagai cabaran untuk terus kekal relevan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi