Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran telah menganjurkan Bengkel Penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) yang diadakan di Hotel Regalpark, Jalan Kampung Attap pada pagi ini.
Menurut Pengarah SDPK, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Bengkel Penghakiman SDPK ini julung-julung kali diadakan bersempena dengan penganjuran SDPK kali ke-37 pada tahun ini, .
Melalui bengkel ini, diharapkan pihak persatuan peringkat negeri dan peserta bengkel mendapat pendedahan dan serta meningkatkan kredibiliti juri atau hakim sayembara pada masa hadapan, khususnya dalam program Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan”.
Pembimbing yang ditampilkan dalam bengkel ini terdiri daripada tokoh yang arif dalam dunia sayembara puisi dan sering terlibat dalam SDPK, iaitu YBrs. Dr. Lim Swee Tin, Tuan Haji Hamzah Hamdani. Bengkel ini juga dikelolakan oleh Encik Azmi Ismail.
Melalui bengkel ini, peserta didedahkan dengan sejarah dan pengenalan teknik penjurian serta penyelarasan pemarkahan SDPK agar peserta yang dinilai kelak tidak berasa sangsi terhadap keputusan yang diputuskan oleh juri.

Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.
Dalam ucapan penutupan program tersebut, beliau menyatakan bahawa bengkel yang dilaksanakan ini sangat menarik kerana peserta mendapat ilmu dan pencerahan secara teori dan amali.
“Perkara yang dikongsikan dalam bengkel ini adalah penting untuk mewujudkan kesepakatan dalam kalangan hakim SDPK,” jelasnya lagi.

Bengkel Penghakiman SDPK ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan pelibatan sebanyak 40 orang peserta yang mewakili 20 persatuan selain 50 orang peserta yang menyertai bengkel ini secara individu.
Peringkat saringan SDPK kali ke-37 pada tahun ini akan bermula pada 1 Julai 2023 hingga 14 September 2023, manakala penganjuran SDPK pada peringkat kebangsaan pula akan diadakan pada 15 September 2023.
Penganjuran SDPK yang diadakan sejak tahun 1987 bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air menerusi alunan puisi ini melibatkan penyertaan daripada 13 negeri, termasuklah tiga wilayah serta dua agensi, iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.