Diterbitkan pada 20 Jun 2023, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun 2023 seperti dinyatakan dalam surat makluman Pelanjutan Tarikh Pendaftaran Peperiksaan Awam Tahun 2023: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) bertarikh 2 Jun 2023.

Walau bagaimanapun, selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan KPM yang memberikan perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan hasrat murni Perdana Menteri, YAb Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar peluang kedua diberikan kepada hampir 30 000 calon SPM Tahun 2022 yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM, KPM membuat keputusan untuk melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 30 Jun 2023 (Jumaat) pada pukul 6.00 petang.

Pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 ini dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my. Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.

Sementara itu, permohonan pendaftaran peperiksaan bagi calon lepasan SPM Tahun 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar. Manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian selain calon lepasan SPM Tahun 2022 masih tertakluk pada syarat-syarat pendaftaran sedia ada. Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang LP di pautan lp.moe.gov.my.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi