Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar atas keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seperti yang diumumkan pada 8 Jun yang lalu.
“Segala usaha dan pengorbanan dalam menuntut ilmu nyata tidak sia-sia dengan kejayaan yang dikecapi. Pencapaian ini memberikan berita yang gembira dan semangat baharu kepada anak-anak. Diharap pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada rakan-rakan yang lain untuk terus bersaing bagi meningkatkan keupayaan diri demi mencapai kejayaan di masa hadapan.”
Baginda menyeru para ibu bapa, warga pendidik dan para pelajar semua agar terus istiqamah dalam usaha dan kecemerlangan yang telah dicapai.
“Namun begitu, janganlah kita lupa untuk sesekali melihat jiran-jiran mahupun rakan-rakan yang mungkin tertinggal dan terjejas akibat cabaran persekitaran pada hari ini. Semoga dengan bantuan yang diberikan, dapat membantu untuk sama-sama mencapai kejayaan di masa akan datang untuk rakyat Perlis secara keseluruhannya.”
Tuanku Pemangku Raja turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri, guru dan ibu bapa yang telah banyak berkorban masa, tenaga serta wang ringgit demi kejayaan anak-anak.
Titah baginda selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap oleh Pengarah Global bagi World Vision International serta Penasihat Strategik untuk ARM Group Solutions, Lachemi Bouguir dari Emiriah Arab Bersatu bagi membincangkan beberapa bentuk usaha sama dan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Pulau Pinang pada petang semalam.
Yang turut hadir ialah Mufti Perlis, Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor; Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle; dan Pengarah Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Haji Shushilil Azam Shuib.