Diterbitkan pada 12 Jun 2023, 21:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Wacana Malaysia MADANI yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor melibatkan kira-kira 800 orang staf dan mahasiswa UMK, mahasiswa UiTM Kelantan dan pelajar Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.

Bachok – Universiti Malaysia Kelantan mengadakan program Wacana Malaysia MADANI di Dewan Tuanku Canselor bagi memberikan pendedahan dan informasi yang komprehensif mengenai kerangka dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan, di samping merakyatkan agenda Malaysia MADANI.

Program anjuran Pusat Pemikiran Peradaban dan Pembangunan Insan (PEMIKIR), Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK  ini disertai oleh hampir 800 orang peserta yang terdiri daripada staf dan mahasiswa UMK, mahasiswa UiTM Kelantan dan pelajar Kolej Vokasional Bachok, Kelantan.

Program ini menampilkan dua tokoh ilmuwan terkemuka negara khususnya dalam bidang tamadun dan peradaban, iaitu Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya dan Profesor Dr. Zaid Ahmad, Profesor Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Kenegaraan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, manakala pemudah caranya ialah Dr. Muhamad Razak Idris, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sesi  wacana dimulai dengan pembentangan pertama oleh Profesor Dr. Zaid bertajuk “Membangun Malaysia MADANI: Falsafah, Konsep dan Hala Tuju”, dengan menjelaskan mengenai falsafah dan matlamat di sebalik konsep madani yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Januari 2023 yang lepas.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia MADANI merupakan suatu usaha islah mengangkat semula peradaban manusia supaya kembali kepada fitrah dan amanah sebagai khalifah Allah SWT.

Sementara itu, pada sesi pembentangan kedua pula, Profesor Datuk Dr. Azizan telah merungkai permasalahan semasa yang dialami oleh umat manusia dan alam sekitar, serta kaedah yang mampan dalam mengatasinya melalui perkongsian bertajuk “Membangun Malaysia MADANI: Strategi Pengukuhan dan Kelestarian”.

Beliau berpandangan bahawa rukun Ihsan dalam akronim MADANI yang berprinsipkan keimanan kepada Allah SWT seharusnya diangkat menjadi nilai penting yang perlu dihayati agar krisis global yang dihadapi masyarakat dunia dapat diatasi melalui kesedaran dan perubahan kendiri.

Mengulas lanjut mengenai penganjuran wacana ini, UMK berperanan penting dalam usaha mempromosikan agenda nasional kepada semua pihak supaya tidak timbul kekeliruan dan percanggahan pandangan dalam kalangan masyarakat, khususnya di Kelantan. Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada perubahan berfikir golongan belia supaya lebih terbuka dan dinamik. Nilai peradaban berasaskan kerangka Malaysia MADANI harus ditanam sekali gus dihayati dalam jiwa belia negara harapan bangsa.

Program wacana ini telah dirasmikan oleh Profesor Dato’ Dr. Razli Che Razak, Naib Canselor UMK. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa seiring dengan usaha kerajaan yang berhasrat memacu pembangunan negara berasaskan 6 Rukun MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, seluruh warga UMK komited menyahut seruan kerajaan ini untuk terus maju dari segi pemikiran dan tindakan, serta berusaha membentuk masyarakat dengan nilai murni berlandaskan latar budaya dan masyarakat Malaysia.

Secara umumnya, peserta memberikan respon positif terhadap penganjuran wacana ini. Oleh itu, menjadi satu harapan agar wacana sebegini dapat dianjurkan dari semasa ke semasa supaya agenda merakyatkan Malaysia MADANI dapat disebarkan kepada seluruh rakyat.


Dr. Burhan Che Daud, Dekan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi