Diterbitkan pada 11 Jun 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sektor agromakanan di negeri Perlis hendaklah turut diceburi oleh anak muda atau golongan belia. Pelaksanaan Projek Usahawan Tani Perlis Superfruits Valley yang berusaha untuk melahirkan lebih banyak usahawan tani berjaya dalam kalangan graduan belia hendaklah diberikan perhatian serius. Hingga kini, sebanyak lapan orang graduan belia telah berjaya dilatih dan diharapkan agar usaha sebegini akan dapat membantu memacu kelestarian sekuriti makanan negara.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada sebanyak 70 penerima dari kariah Behor Temak dan 70 lagi penerima dari kariah Kota Kayang di Masjid Al-A’la, Behor Temak, Kangar baru-baru ini.

Turut serta ialah kepimpinan tertinggi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diketuai oleh Rektor, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pemangku Raja Perlis turut mengingatkan para pensyarah KUIPs agar sentiasa meletakkan integriti dan sifat dedikasi yang tinggi dalam mendidik pelajar kerana cara ini akan membentuk graduan supaya menjadi insan yang berjaya dan akan menjadi generasi harapan terhadap bangsa dan negara.

Tambah baginda,

Pelajar KUIPs diharapkan agar dapat membuktikan keupayaan masing-masing pada tahap optimum melalui kesungguhan, semangat tidak putus asa dan sifat dedikasi yang tinggi untuk meneruskan dan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Bersempena dengan program tersebut, baginda kemudiannya berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid tersebut.

Keluarga yang disantuni dan diserahkan sumbangan agihan zakat MAIPs oleh baginda ialah Aishah Din, 73 tahun dari Behor Temak; Alus Ahmad, 77 tahun dari di Kg Hutan Melintang; dan Puan Ibrahim 74 tahun dari Kg Behor Gonchar. Setiap seorang menerima RM700.

Sekitar pemberian sumbangan kepada penerima yang memerlukan bersempena dengan program kayuhan basikal MAIPs Peduli yang diadakan baru-baru ini.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi