Diterbitkan pada 10 Jun 2023, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited mempelopori pendidikan secara fleksibel melalui Kerangka Pendidikan Anjal UniMAP (UniMAP Flexible Education Framework) seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan evolusi kehidupan masyarakat.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerangka ini akan membolehkan pelbagai lapisan masyarakat pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk mendapat akses pengajian tinggi, di samping memastikan hasrat pembelajaran sepanjang hayat benar-benar dapat dilaksanakan.

Kerangka ini membolehkan pekerjaan dan pembelajaran formal bersilih ganti dalam tempoh dan laluan kerjaya seseorang, bukan bersifat linear, dan boleh dilaksanakan melalui pelbagai platform pada masa yang sesuai kepada pelajar.”

“Salah satu perubahan tingkah laku yang semakin dapat dilihat sekarang adalah berkaitan dengan pendekatan generasi masa ini tentang pekerjaan dan pembelajaran.”

“Kita mendapati bahawa terdapat dalam kalangan lepasan sekolah memilih untuk bekerja dahulu atas sebab tertentu dan semakin ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah berada dalam alam pekerjaan memilih untuk menyambung pengajian masing-masing.

Menurut baginda, model pendidikan universiti seperti kebiasaan, iaitu pelajar masuk ke universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tamat pengajian selepas tiga atau empat tahun dan kemudian masuk ke alam pekerjaan mungkin semakin kurang relevan berbanding dahulu.

Jadi sebagai langkah proaktif, sokongan harus diberikan kepada UniMAP apabila kerangka ini diterjemahkan kepada tindakan, terma seperti Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), kursus modular, microcredentials, The Online Distance Learning (ODL) dan sebagainya.

Demikianlah titah Pemangku Raja Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan-Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia yang menghadiri Majlis PALAPES UA yang dituanrumahkan oleh UniMAP pada kali ini.

Dalam perkembangan lain, baginda turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Che Amad Zaury, 56 tahun; Mahamud Ismail, 84 tahun; dan Che Ashah Taha, 89 tahun yang kesemuanya tinggal di Kampung Jelempok. Masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM700.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi