Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kunjungan hormat Kementerian Luar Negeri (KLN) ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini telah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak. Dalam pertemuan tersebut, DBP dan KLN berbincang tentang penganjuran kursus dan program pengembangan bahasa Melayu pada peringkat luar negara yang boleh dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama KLN dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan 1957.
Melalui kunjungan ini juga, DBP dan KLN dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa pada peringkat serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Rombongan dari KLN dihadiri oleh empat orang pegawai yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Yubazlan Haji Yusof, Setiausaha Bahagian, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, KLN. Manakala DBP pula diketuai oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Ketua Pengarah DBP yang turut mempengerusikan sesi kunjungan hormat tersebut.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, kerajaan kini komited memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Hal ini dapat dilihat melalui pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk penerbitan buku.
Dalam usaha memanfaatkan peruntukan tersebut, DBP telah merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan disalurkan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pihak DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dan Yayasan Karyawan, malah kepada penerbit buku yang lain juga.
Antara fokus yang akan diberikan tumpuan termasuklah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing dan dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu, serta penerbitan karya agung dan penerbitan terpilih lain. Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk mengangkat karya Sasterawan Negara, karya agung dan klasik yang melibatkan khazanah Melayu.
Sementara itu, YBhg. Dato’ Yubazlan Haji Yusof pula memaklumkan bahawa di bawah fungsi bahagian baharu, iaitu Bahagian Diplomasi Bahasa dan Budaya, KLN akan memberikan fokus kepada perkembangan bahasa dan budaya.
Pada masa yang sama, KLN berharap agar kursus dan kegiatan anjuran DBP dapat diteruskan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat serantau dan antarabangsa, antaranya termasuklah Kursus Simple: Special Malay Language Enhancement Programme yang diadakan dengan kerjasama Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Pemantapan sukatan pelajaran (syllabus) Bahasa Melayu untuk anak-anak perwakilan luar negara dan diaspora luar negara, Kursi bahasa Melayu di luar negara, program yang bersifat antarabangsa, seperti Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) dan program lain yang seumpamanya.
Selain itu, DBP akan meneruskan usaha pada peringkat serantau dan antarabangsa melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu atau singkatannya MABM, iaitu sebuah majlis khas yang ditubuhkan untuk menyelaraskan aktiviti kebahasaan yang menjurus terhadap matlamat pengembangan bahasa pada peringkat antarabangsa, Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia atau MABBIM, iaitu sebuah majlis yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu/Indonesia pada peringkat serantau dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), iaitu sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu/Indonesia pada peringkat serantau.
DBP juga telah menyenaraikan beberapa program, antaranya termasuklah Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.

Pegawai KLN yang turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Encik Mohd. Farhan Mohd Arefin, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam; Encik Azad Iklas Ismail, Penolong Setiausaha, Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam; dan Encik Suresh Kumar a/l K. Rengasamy, Pengarah Pusat Diplomasi Bahasa dan Budaya (CLCD), Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
Manakala pihak pengurusan DBP yang turut hadir sama ialah Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar); Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi); Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan; Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan; Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera; Encik Sharrul Rizal Hashim, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat; dan kumpulan pegawai DBP.