Diterbitkan pada 11 Mei 2023, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Arau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis (PPDK AnIPs) di Kampung Guring, Arau pada hari ini.
       Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia  (DYTM) Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
DYMM Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan melihat perkembangan aktiviti yang diusahakan oleh PPDK AnIPs ketika merasmikan pusat tersebut pada hari ini.
       Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi PPDK AnIPs, Dr Nazmin Abdullah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman.
PPDK AnIPs ditubuhkan di bawah Persatuan Sokongan Ibu bapa dan Remaja Istimewa Perlis (PSRIP) pada Oktober 2019 yang bertempat di Guar Halban, Mata Ayer dengan mempunyai hanya dua orang pelatih sahaja pada ketika itu.
       Kemudian pusat tersebut telah berpindah ke premis baharu kerana kekangan ruang belajar dan aktiviti kemahiran pada Jun 2022 di bawah pengurusan PPDK AnIPs serta di bawah seliaan JKM Negeri ini bermula 2 Mac 2021.
        Pada ketika ini, PPDK AnIPs mempunyai sebanyak 20 orang pelatih orang kelainan upaya (OKU) yang terdiri daripada pelbagai kategori ketidakupayaan dan dua orang OKU bekerja di bawah bimbingan enam orang tenaga pengajar.
        Menurut Dr Nazmin,  pusat ini diwujudkan bertujuan untuk menyediakan pemulihan dan pendidikan kemahiran yang diperlukan oleh golongan OKU kefungsian rendah seperti anak istimewa yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti autisme, disleksia, ADHD, pelajar lembap (slow learner), masalah pembelajaran spesifik, ketidakupayaan fizikal, pendengaran dan juga penglihatan.
Anak-anak ini dilatih dengan kemahiran yang diperlukan berpandukan kandungan modul yang diaplikasikan meliputi aspek pengurusan diri, pengurusan tingkah laku, sosioemosi, ibadah, hafazan, pra akademik, riadah dan kemahiran pekerjaan mengikut kesesuaian individu.
PPDK AnIPs mempunyai sebanyak 20 orang pelatih orang kelainan upaya (OKU) yang terdiri daripada pelbagai kategori ketidakupayaan dan dua orang OKU bekerja di bawah bimbingan enam orang tenaga pengajar.
        Selain itu, modul ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefungsian anak istimewa di PPDK AnIPs agar mereka mampu menjana pendapatan dan dapat berdikari kelak.
         Pada majlis yang sama, Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis di ruang utama bangunan tersebut.
        Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan rasa gembira melihat perkembangan positif anak-anak ini dan berharap agar modul pembelajaran yang kondusif akan terus ditambahbaik untuk kebaikan masa depan mereka.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi