Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChuping – Dalam usaha membasmi kemiskinan di negeri Perlis, tindakan bersepadu perlu sentiasa diberikan tumpuan dan dilaksanakan secara kolaborasi.
Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan ini dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan.
Berdasarkan rekod, seramai 11 032 Ketua Isi Rumah (KIR) didapati telah berdaftar dalam sistem eKasih di bawah kategori miskin dan miskin tegar di negeri ini.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat bersempena dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli kepada Abu Seman Saad, 73, di Kampung Bawah Bukit; Besah Mat, 65, di Kampung Balik Bukit dan Raimijim Abdurajin, 48, di Kampung Titi Besi Chuping, baru-baru ini.
Masing-masing mereka menerima RM700 secara tunai daripada MAIPs, sekampit beras serta bekalan makanan mentah setiap seorang.
Pada petang tersebut, faktor keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menjadi penghalang bagi program menjejaki dan menyantuni asnaf di negeri Perlis itu terus dilaksanakan.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan bahawa dalam apa-apa jua keadaan, golongan yang memerlukan ini perlu sentiasa diberikan perhatian dan semua pihak wajib memastikan mereka mendapatkan sumbangan dan bantuan yang sewajarnya.