Diterbitkan pada 27 April 2023, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan Program Lima Minit Antirokok bagi mencegah dan membendung penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid.

Menurut KPM, program ini bertujuan untuk menerapkan nilai kesedaran terhadap murid, selain membentuk jati diri dan memperkukuhkan daya tahan yang tinggi.

Program ini akan dilaksanakan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen antimerokok, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah.

Susulan daripada itu, KPM memberikan peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah berkaitan dengan Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah.

Melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah.

KPM dalam kenyataan media pada petang ini berkata, program berkenaan dilaksanakan bersama-sama JPN, PPD dan sekolah dengan kerjasama agensi awam, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Tambah KPM, inisiatif pencegahan amalan merokok ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha melaksanakan program IMFree.

Program IMFree diperkenalkan kepada murid sekolah rendah tahun satu hingga tahun enam di 636 buah sekolah rintis dan diperluaskan pada tahun 2023.”

“Program IMFree merupakan program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah.

Mengulas lanjut, KPM memaklumkan bahawa objektifnya adalah untuk memberi pengetahuan tentang bahaya merokok; memberi kemahiran untuk menyampaikan maklumat tentang bahaya merokok; dan melatih murid menjadi agen/pencetus/penyampai maklumat perubahan kepada rakan dan keluarga terhadap bahaya merokok.

Pada sama yang sama, KPM menegaskan pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan dengan isu disiplin.

“Hal ini merupakan satu daripada usaha berterusan untuk memberikan kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid,” ulas KPM dalam laporan media mengenai penggunaan rokok elektronik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi