Diterbitkan pada 19 April 2023, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Georgetown – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 The Old Frees’ Association (OFA) yang diadakan di The OFA Building, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong Huat; Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Ivan Ooi Jieun Vei; dan Setiausaha Kehormat OFA, Alex Tan Hee Aik.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 50 orang tetamu terdiri daripada bekas Presiden serta kepimpinan OFA.

Pada kemuncak majlis, Tuanku Pemangku Raja berkenan melancarkan plak khas yang telah ditandatangani oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sisi pintu masuk utama bangunan OFA tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda turut memuji pasukan pancaragam sekolah tersebut yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan semangat perpaduan sebegini mesti dikekalkan, malah ditambah baik di masa hadapan.

Baginda turut mencadangkan,

Inisiatif baharu melalui program penghantaran beberapa pelajar dari Perlis ke Penang Free School pada setiap tahun melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan Yayasan PFS supaya dapat dipertimbangkan.

Pada majlis yang sama, Andrew Lim menyembah maklum bahawa kekuatan OFA terletak pada perpaduan. Sebagaimana pengasas kita bersatu untuk membina sesuatu yang hebat, maka begitu juga dengan kita agar terus bekerjasama untuk memastikan persatuan kita ini kekal dan memberi banyak kebaikan pada tahun-tahun mendatang.

Tambahnya lagi,

Kita haruslah berganding bahu untuk terus melahirkan cendekiawan, ahli sukan dan tokoh akademik dan terus menjadi produk terbaik Penang Free School.

Kapsul masa yang ditanam pada majlis perasmian tersebut akan dibuka semula pada tahun 2073.

Dalam majlis tersebut juga, kapsul masa yang diisi dengan memorabilia, gambar dan mesej ditanam di dalam kawasan rumah kelab oleh DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin bagi mewakili DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan bakal dibuka kembali selepas 50 tahun, iaitu pada tahun 2073.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Pancaragam Penang Free School.

Sebagai rekod, Keluarga DiRaja Jamalullail Perlis mempunyai tradisi tiga susur galurnya merupakan alumni sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara tersebut iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin sendiri dan juga Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setakat ini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi