Diterbitkan pada 17 April 2023, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua wanita yang telah dan bakal bergelar seorang ibu dapat menuntut ilmu keibubapaan supaya lebih bersedia untuk melahirkan dan mendidik modal insan yang terbilang dalam era globalisasi ini.

Sentuhan keibuan berkait rapat dengan pembinaan kemahiran insaniah kepada seseorang. Kemahiran insaniah merangkumi tujuh aspek penting, iaitu kemahiran berkomunikasi; kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis; kemahiran kerja berpasukan; pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat; kemahiran keusahawanan; etika dan moral profesion; dan kemahiran kepimpinan.

Apabila seorang ibu menggenggam tangan anaknya dengan memberi sokongan dan dorongan yang jitu kepada seorang anak, keyakinan dalam diri anak meningkat dan perasaan ingin melakukan yang terbaik dalam setiap matlamat yang ingin dicapai juga meningkat.

Menurut baginda, sentuhan para ibu mampu untuk mendidik jasmani dan rohani anak-anak dengan cara yang lebih halus dan penuh kasih sayang.

Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Women in Search of Excellence yang bertajuk “Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital” berlangsung secara dalam talian, hari ini.

Titah baginda ketika berkenan merasmikan majlis pembukaan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Women in Search of Excellence bertajuk, “Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital”.

Webinar Siri ke-20 tersebut adalah anjuran bersama antara YTF dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE). Anjuran ini turut mendapat kerjasama teknikal daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.

Terdahulu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengerusi FCoEE yang memegang slogan “Insentif Minda Pemangkin Bangsa”, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Sesi awal menampilkan ahli panel Forum Bual Bicara yang terdiri daripada Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Malaysia; Prof. Madya Ir. Dr. Umi Fazara Md Ali, Pengarah Centre of Engagement, UniMAP; dan Wan Saniah Wan Yahya, Pengarah Pusat Kaunseling, UniMAP.

Slot tersebut dimoderatorkan oleh Nurul Najha Saidin, Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling, SMK Agama Perempuan Kangar.

Majlis penutupan perasmian pula telah disempurnakan pada sebelah petang oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi YTF.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi