Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti khas tambahan persekolahan pada 19 April 2023 (Rabu) kepada semua institusi pendidikan bawah KPM, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pemberian cuti khas adalah untuk memudahkan perancangan dan persiapan awal kepada murid, guru dan warga sekolah, khususnya mereka yang perlu merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman.
“KPM mengisytiharkan bahawa pada 19 April adalah cuti khas untuk semua warga KPM. Maka itu, pada 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti, hari ini.
Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) telah memohon KPM agar memberikan cuti khas kepada guru pada 19 April ini, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sesi cuti persekolahan untuk Aidilfitri tahun ini sebelum ini ditetapkan pada 20 April hingga 1 Mei depan.