Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Balai Islam An-Nur Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar, Kuala Lumpur pada tengah hari semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi TNB, YBhg. Dato’ Abdul Razak Abdul Majid; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Datuk Indera Ir. Baharin Din; dan Ketua Hal Ehwal Islam TNB, Encik Fajuri Mamat. Turut hadir, kepimpinan tertinggi syarikat milik kerajaan Malaysia (GLC) yang merupakan satu-satunya syarikat utiliti elektrik di Semenanjung Malaysia yang menyediakan perkhidmatan elektrik kepada seluruh pengguna domestik dan industri tanah air.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin dipersembahkan taklimat mengenai kompleks tiga tingkat yang tersergam indah dengan keluasan 1.67 hektar dan memiliki tiga ruang solat yang boleh memuatkan seramai 2 850 jemaah.
Selain itu, kompleks tersebut turut menempatkan pejabat dan kuarters staf Unit Hal Ehwal Islam TNB, dewan seminar, kafeteria, ruang parkir dua tingkat dengan kapasiti 206 lot serta perkhidmatan pengurusan jenazah.
Sebelum mengakhiri lawatan, DYTM Tuanku Syed Faizuddin berkenan menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut yang dihiasi dengan seni bina berkonsepkan kontemporari dan elegan serta bercirikan mesra alam.



