Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya- Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah berkenan berangkat melawat Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Putrajaya pada pagi tadi.

Berangkat sama ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan ke hospital berkenaan berangkat tiba pada pukul 10.30 pagi disambut oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut mengiringi sama ialah Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya, Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin yang telah selamat menjalani pembedahan turut ditemani Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Terdahulu, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin telah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada 1 April 2023 di Hospital Putrajaya.