Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Anakanda kedua Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berjaya menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa di Monash University Malaysia, hari ini.
Menurut Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Sharifah Farah Adriana menerima ijazah sarjananya dalam Majlis Istiadat Konvokesyen yang disampaikan oleh Timbalan Canselor, Peter Young AM KC di Grand Ballroom Sunway Resort Hotel and Spa.
Majlis tersebut dipecahkan kepada tiga sidang, iaitu melibatkan sebanyak 270 orang graduan Perniagaan dan Undang-Undang, 295 orang graduan Perubatan, Farmasi dan Sains serta 296 orang graduan bagi jurusan Sastera, Pendidikan, Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
Berangkat menghadiri majlis konvokesyen salah sebuah daripada 50 universiti terbaik di dunia tersebut ialah Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat bersama ialah anakanda puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Menyambut keberangkatan tiba baginda berdua ialah Presiden merangkap Pro-Naib Canselor (Interim) Universiti, Professor Matthew Gordon Nicholson, Ahli Majlis Universiti Geraldine, Johns-Putra dan Naib Presiden (Pendidikan), Professor Beverley Joyce Webster.
Dalam perkembangan lain, Sharifah Farah Adriana yang merupakan seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan juga Penaung Hermission House Extreme Sports Club (HHESC) telah memulakan kerjayanya sebagai Ketua Komunikasi di sebuah syarikat penjualan alat-alat sukan dari luar negara pada 15 Mac baru-baru ini.
Dilahirkan di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland pada tahun 2001, Sharifah Farah Adriana baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-22 pada 4 Mac lalu.