Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Masyarakat diajak untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan dan pembangunan semasa. Masyarakat juga perlulah menggandakan usaha kerana hanya dengan berusaha dan bekerja kuat sahaja kita akan mempunyai peluang yang lebih untuk berjaya dalam hidup.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa berkenan berangkat menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 138 orang asnaf terpilih di Kangar. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 70 orang penerima adalah dalam kalangan anak kariah Kg. Titi Tok Bandar, manakala 68 orang penerima lagi dari kariah Seriab. Setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM700 daripada MAIPs dengan jumlah penuh sumbangan pada kali ini adalah sebanyak RM96 600. Sumbangan ini telah disampaikan dalam program yang diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Titi Tok Bandar.


Semasa sumbangan zakat tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengaitkan kehidupan masyarakat dengan perkembangan teknologi terkini yang melingkari kehidupan mereka. Tambah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail:
Kini, teknologi digital, alat komunikasi canggih dan media sosial seolah-olah menjadi suatu kemestian bagi kehidupan seharian kita. Setiap perkara ada baik dan buruknya. Sebaik-baiknya kemudahan teknologi ini dapat digunakan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat, sama ada dari segi ekonomi, sosial dan juga politik.
Sehubungan dengan itu, Tuanku Raja Muda Perlis menyeru semua masyarakat yang hadir dalam majlis tersebut agar memanfaatkan teknologi yang ada dan terus berusaha untuk membawa perubahan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana masyarakat berpeluang meningkatkan taraf kehidupan mereka sekiranya gigih berusaha dan sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya.

Turut mengiringi Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Untuk rekod, melalui inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan sumbangan kepada Ibnu Sabil dan pengantarabangsaannya, MAIPs akan memberikan sumbangan awal kepada Tabung Ibnu Sabil berjumlah RM5000 kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zewland dalam masa terdekat.