Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pada 19 Januari 2023, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai aspirasi yang dibawa oleh beliau bagi mentadbir negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Pada hari tersebut juga, turut diadakan majlis pelancaran buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).
Oleh itu, sebagai usaha untuk memperkenalkan konsep Malaysia Madani berdasarkan aspirasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Wacana Pembangunan Negara MADANI yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan, YBhg. Dato’ Haji Ismail Yusop dan Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Encik Khairul Ariffin Mohd Munir.

Menurut YBhg. Dato’ Haji Ismail Yusop, buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi merupakan rumusan perjalanan perjuangan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama lebih empat dekad, iaitu bermula sejak tahun 1970-an sehingga beliau akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Tambah beliau, tempoh empat dekad tersebut bukan merupakan suatu perjalanan dan proses pembinaan negara bangsa yang berlaku secara kebetulan. Bahkan, tempoh tersebut memperlihatkan perjalanan yang penuh dengan liku dan cabaran yang berlaku dalam negara.
Beliau turut berkata,
Perkataan Madani yang digunakan untuk menamakan himpunan ciri-ciri utama negara Malaysia mengikut manhaj Malaysia. Kerangka Madani merupakan ikhtiar yang bersepadu dan holistik. Selain itu, kerangka ini membolehkan segala dasar yang digubal menjadi lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Pada masa yang sama, YBhg. Dato’ Haji Ismail Yusop turut berkongsi pendekatan untuk menghadapi cabaran, iaitu memerlukan suatu penambahbaikan yang radikal, selain bergandingan bersama-sama rakyat untuk mendepani perubahan dalam konteks kerajaan perpaduan; dan meraikan kepelbagaian serta mengambil kira nilai daripada latar belakang agama, etnik dan wilayah yang berbeza.

Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Encik Khairul Ariffin Mohd Munir turut berkongsi pandangan bahawa Madani juga menjadi dasar setiap teras bagi memperkukuh lapan keperluan dalam pembangunan negara, iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar dan luar bandar.
Beliau turut menyarankan masyarakat agar menelusuri konsep Madani yang digarap oleh Perdana Menteri dan menjadikan buku tersebut sebagai rujukan bahan bacaan. Hal ini seiring dengan keperibadian Perdana Menteri yang menjadikan amalan membaca sebagai rutin dalam kehidupan beliau.
Wacana yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zulfa Hamzah; pengarah jabatan, ketua bahagian, pegawai kanan dan seluruh karyawan DBP.