Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Bangi – Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek mengucapkan selamat maju jaya kepada 403 637 calon yang menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 pada hari pertama, hari ini.
Dalam ucapan ringkasnya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat pada pagi tadi, YB Puan Fadhlina Sidek berkesempatan untuk memberikan semangat dan nasihat kepada calon agar usaha dan kegigihan mereka akan membawa kejayaan yang bermakna.

Selamat maju jaya kepada semua. Saya mendoakan agar kejayaan buat semua pelajar SPM.
Doa, fokus dan tenang.
“Saya juga berharap agar calon mendapat ketenangan, keselesaan dan kemudahan yang lengkap sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan,” kata YB Puan Fadhlina Sidek selepas membuat tinjauan persiapan sekolah dan Lembaga Peperiksaan.
Memandangkan peperiksaan SPM ini adalah rutin sekolah pada setiap tahun, saya percaya kepakaran pihak sekolah, ahli lembaga peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri telah membuktikan bahawa persiapan telah dilaksanakan dengan baik.
Menurut YB Puan Fadhlina Sidek dalam sidang media tadi, sebagai ibu bapa dan penjaga, doa, sokongan dan komunikasi merupakan medium yang sangat penting dalam memberikan suntikan semangat, serta beliau percaya bahawa perkara ini mampu mendorong kejayaan kepada anak-anak.
Mengulas lanjut berkaitan dengan SPM 2022, sebanyak 131 318 petugas dilantik dan 3355 pusat disediakan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.

Yang turut hadir bersama-sama dalam lawatan kunjungan ialah Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, YBrs. Puan Rohayati Abd. Hamed.