Diterbitkan pada 14 Februari 2023, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan memberikan penekanan terhadap peranan bahasa Melayu dalam mentamadunkan masyarakat, serta menjelaskan makna konsep Malaysia Madani kepada warga DBP dalam majlis amanatnya pada pagi tadi.

Kuala Lumpur – Sebagai institusi yang berperanan besar dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan ilmu, warga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diseru agar menyelami nilai madani dengan melaksanakan komitmen kerja seperti yang termaktub dalam Ikrar Perkhidmatan Awam, sekali gus menekuni konsep Membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023.

‘Membangun Malaysia Madani’ bukanlah satu lembaran baharu, namun merupakan visi dan kerangka besar dasar Kerajaan Perpaduan sebagai ikhtiar untuk memetakan semula strategi melalui empat teras, iaitu membina semula ekonomi​; menjamin kesejahteraan insan​; reformasi institusi demokrasi dan perundangan​; dan mewujudkan pentadbiran beramanah​.

Maka itu, apabila YAB Perdana Menteri membuat pengumuman dalam sidang media pertamanya, perkataan yang disampaikan oleh beliau selaras dengan dasar negara, apabila beliau menegaskan bahawa peri pentingnya pancang-pancang kenegaraan yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu dipertahankan dan tidak dirobek dan tidak diganggu-gugat dengan semangat yang bertentangan dengan pancang itu.

Perkara yang paling penting ialah soal kedudukan agama Islam, sistem pemerintahan beraja dan kedudukan bahasa Melayu, yakni yang menjadi asas acuan kepada pembentukan makna penyatuan diri Melayu dan bangsa lain di negara ini.

DBP memainkan peranan penting dalam usaha melancarkan pembangunan negara – YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Demikian antara petikan ucapan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam Majlis Amanat Pengerusi Lembaga Pengelola yang berlangsung pada pagi tadi di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Menurut beliau, seiring dengan Pelan Strategik DBP 2021–2025, DBP komited mengadakan pelbagai program ilmu sebagai sokongan padu kepada gagasan kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa yang lebih ampuh sebagai wasilah tamadun negara dan pada masa yang sama melonjakkannya sebagai bahasa ekonomi. Hal ini demikian kerana kedudukan bahasa Melayu pada hakikatnya sudah melebihi dua alaf dan sebagai rakyat Malaysia semua pihak perlu menggemilangkannya semula. Jelas beliau lagi:

Tumpuan DBP adalah untuk memastikan bahasa Melayu terus berperanan sebagai bahasa negara dalam konteks bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa tamadun tinggi.

Sementara itu, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan turut memberikan penekanan terhadap usaha memacu pertumbuhan bidang ekonomi, teknologi dan digital. Dalam usaha ini beliau mengingatkan staf DBP agar tidak mengabaikan nilai kemanusiaan kerana perkara tersebut akan menjadikan seseorang itu mula mengalah dan mudah berkompromi dengan penyelewengan mahupun penindasan.

Oleh hal yang demikian, beliau menyarankan staf DBP agar terus berusaha menjadi nadi penggerak dan tulang belakang negara dalam memacu fungsi pentadbiran masing-masing.

Menerusi amanatnya, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP amat berharap agar staf DBP menekuni nilai madani yang begitu luas makna dan konsepnya, seterusnya mengoptimumkan fungsi jentera kerajaan serta bertanggungjawab dalam melaksanakan dasar yang berkaitan dengan fungsi tugasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi