Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPahang – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk laporan sebuah akhbar arus perdana pada 10 Februari 2023 berhubung dengan isu kerosakan kantin di Sekolah Kebangsaan Kampung Awah, Maran, Pahang sehingga menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan di pelbagai tempat.
Dalam usaha menangani situasi tersebut, KPM sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid. Maklumat mendapati projek tersebut berada dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan oleh KPM untuk Rancangan Boleh Pinda ke-3 atau Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun 2023 dan kelulusan projek tertakluk pada pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 kelak.
Proses tersebut melibatkan skop untuk merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu termasuklah kantin dan kemudahan lain mengikut piawaian dan mesra golongan orang kurang upaya (OKU), perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada.
Walau bagaimanapun, sementara menunggu pembinaan semula kemudahan tersebut, pihak sekolah sejak awal lagi telah meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan berikutan telah diisytiharkan tidak selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Selain itu, pihak sekolah juga telah menyediakan khemah khas untuk digunakan oleh murid dan guru semasa waktu rehat. KPM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru.