Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sukarelawan dari Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memulakan misi bantuan bencana banjir di Johor baru-baru ini.
Bermula semalam hingga 15 Februari, sebanyak 20 orang sukarelawan Negeri Perlis turut pandang memberikan bantuan di daerah Segamat dan Batu Pahat. Misi bantuan ini diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis, Reswan Ramli.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, barangan bantuan dibawa dari Perlis dengan menggunakan sebuah lori, enam buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van.
“Antara barangan yang disumbangkan termasuklah 1200 barang yang terdiri daripada 300 unit selimut tebal, 300 selimut, 300 helai kain pelekat, 300 helai kain batik dan air mineral,” kata beliau.
Mengulas lanjut, misi tersebut merupakan anjuran bersama antara Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis, MAIPs dengan kerjasama beberapa pihak penyumbang yang lain.

Terdahulu, dalam program berasingan di Masjid Al-Muttaqin Padang Besar Kurong Anai baru-baru ini, MAIPs menyerahkan agihan zakat kepada 70 penerima dari Kariah Padang Besar Kurong Anai dan 70 orang lagi penerima dari Kariah Bohor Mentalon yang masing-masing menerima sumbangan RM700 setiap seorang. Penyampaian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.