Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru pelajar agar terus melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, khususnya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Perlis sebagai pilihan utama.
Titah baginda, kredibiliti alumni di IPT Perlis banyak membukti pencapaian mereka yang cemerlang sebagai mahasiswa. Maka itu, wajarlah untuk dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain, selain daripada meningkatkan semangat pelajar dan seterusnya dapat membantu membangunkan kapasiti IPT masing-masing dengan menarik lebih ramai penuntut ke negeri ini.
Pengalaman yang diperoleh sepanjang belajar di Perlis dapat dijadikan sebagai panduan kepada bakal pelajar dan menjadi bukti yang paling sahih kepada mereka untuk memilih negeri ini, terutamanya dalam memilih bidang yang bertepatan bagi menceburi bidang kerjaya pada masa akan datang.
Hal ini dapat memperkasa lagi peratusan kemasukan pelajar sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, berdasarkan bantuan promosi daripada alumni itu sendiri.
Sebagai rekod, antara IPT yang terdapat di Perlis ketika ini ialah Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Institut Pendidikan Guru Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan terbaharu Universiti Muhammadiyah Malaysia yang akan mula beroperasi tidak lama lagi.
Demikianlah titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena program kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Pauh baru-baru ini.
Antara rumah asnaf yang disantuni dan diserahkan sumbangan MAIPs oleh Raja Muda Perlis, termasuklah Hussin Bakar 79 tahun, Halimah Teh 88 tahun dan Don Kasa 96 tahun.