Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMata Ayer – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor, berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 101 orang asnaf yang terpilih dalam kalangan anak kariah Kampung Kok Klang dan Felda Chuping. Sumbangan tersebut diadakan di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, Mata Ayer hari ini. Masing-masing menerima RM700 daripada baginda Tuanku.


Dalam titah baginda, adalah menjadi keutamaan bagi semua pihak yang menjalankan sesuatu misi kemanusiaan untuk memastikan kepercayaan masyarakat sentiasa terpelihara serta manfaat yang ingin dicapai menjadi kenyataan.
Kepercayaan merupakan perkara yang paling penting, bahkan perkara tersebut merupakan amanah yang mesti dijaga oleh setiap yang terlibat dalam menjayakan misi kemanusiaan.
Sebagai rekod, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra telah mengetuai beberapa misi kemanusiaan antarabangsa MAIPs. Antaranya termasuklah membantu pelarian Syria di Mafraq, Jordan pada Februari 2016 dan bantuan kemanusiaan di Al-Quds pada Oktober 2018. Baginda juga merupakan Kerabat DiRaja pertama di dunia yang telah melakukan misi kemanusiaan di Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada Oktober 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor turut memaklumkan bahawa MAIPs telah melancarkan Tabung Sumbangan Khas bagi Mangsa Bencana di Turkiye dan Syria 2023 sebagai medium untuk masyarakat menyalurkan sumbangan mereka.
Anggota masyarakat yang ingin menyalurkan sumbangan melalui MAIPs boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat di laman portal rasmi MAIPs, www.maips.gov.my. MAIPs sentiasa menghargai para penyumbang yang selama ini tidak putus-putus memberikan amanah sumbangan mereka untuk diuruskan dalam misi kemanusiaan.
Dalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor berkenan mengadakan satu perbincangan secara dalam talian dengan Pengurusan Kanan NGO Misi Kemanusiaan Antarabangsa, iaitu Humanitarian Care Malaysia yang juga dikenali sebagai MyCARE, yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha, Pegawai Eksekutifnya, Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar serta Pengurus Besar MyCARE, Roha Hassan bagi meneroka peluang serta potensi untuk bekerjasama.