Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKOTA BELUD – Sebanyak 56 orang pelajar dan tiga orang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi telah menyertai Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa yang diadakan di Dewan Nur Qaseh, SMK Taun Gusi hari ini.

Program MDK yang dilaksanakan oleh pihak SMK Taun Gusi dengan kerjasama Bahagian Majalah, DBP ini bertujuan untuk memperkenalkan majalah Dewan Siswa secara langsung kepada para pelajar dan guru, serta membantu guru-guru Bahasa Melayu, khususnya bagi mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana majalah Dewan Siswa telah menjadi bahan rujukan untuk program Majalah Dalam Kelas (MDK) sejak tahun 1988 lagi. Jika diteliti, kandungan majalah ini memaparkan pelbagai cakupan ilmu dan isu semasa, sama ada dalam bidang kreatif atau pun bukan kreatif, khususnya berkaitan dengan para pelajar di sekolah menengah.
Semasa sesi taklimat bersama-sama editor Majalah Dewan Siswa, para pelajar telah diberikan panduan dan galakan untuk menghantar karya bagi penerbitan majalah DBP. Motivasi dan galakan ini penting untuk mengasah bakat dan potensi diri pelajar dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif. Program MDK ini secara keseluruhannya, menitikberatkan kehendak pengisian kurikulum seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar, dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

Beberapa aktiviti secara berkumpulan telah dilaksanakan semasa program MDK ini, antaranya aktiviti interaktif seperti kuiz menara belon, teka peribahasa Melayu dan aktiviti yang menggunakan kandungan dalam majalah Dewan Siswa sebagai bahan tambahan dan sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Melalui aktiviti menukarkan artikel kepada pantun para pelajar dapat berfikir secara kreatif dan kritis untuk menghasilkan sebuah penulisan yang baik dan bermutu. Selain itu, pelajar juga dapat membuat penyusunan idea, merapikan perkataan dan menzahirkan pemikiran dengan cepat, tepat dan teratur. Aktiviti MDK ini juga berjaya mewujudkan ruang komunikasi dua hala antara pelajar, guru dan sidang editorial Dewan Siswa untuk bertukar-tukar pendapat dan untuk penambahbaikan majalah.

Menurut pengetua SMK Taun Gusi, Encik Nuzie Haji Balus, program MDK ini diharapkan agar dapat memberikan manfaat kepada para pelajar SMK Taun Gusi, selain turut menjadikan majalah Dewan Siswa sebagai panduan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, terutamanya ruangan bimbingan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa.
Program MDK yang dilaksanakan ini diharap dapat mengasah bakat dan kemahiran pelajar dalam penulisan kreatif dan deskriptif serta dapat mendedahkan pelajar tentang penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Selain itu, melalui penerbitan majalah DBP juga diharap dapat memberikan manfaat yang berguna kepada semua pihak, serta memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar, guru, dan ahli keluarga yang lain.