Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bertempat di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, pada petang ini, telah berlangsung pertemuan antara wakil dari Unit Penerbitan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, YBrs. Dr. Azyyati Anuar, dengan Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat.

Antara tujuan pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan dengan kerjasama antara Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah dengan pihak DBP, terutamanya melalui Jabatan Penerbitan yang melibatkan proses penerbitan buku ilmiah dan juga karya kreatif
Menurut YBrs.Tuan Haji Razali Che Mat dalam ucapan alu-aluannya, DBP memfokuskan tentang kaedah percetakan atas permintaan yang bertujuan untuk mengoptimumkan kos percetakan yang semakin meningkat sejak belakangan ini. Katanya, pendekatan tersebut amat penting dilakukan oleh syarikat penerbit terutamanya ketika industri perbukuan fizikal sedang bersaing dengan perbukuan digital.

DBP turut menekankan konsep penyuburan ilmu, iaitu pendekatan yang mampu memberikan manfaat kepada para pembaca. Hal ini disebabkan fungsi utama penubuhan DBP adalah berbeza daripada syarikat atau penerbit lain
Sementara itu, YBrs. Dr. Azzyati menjelaskan bahawa Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah merupakan unit yang bernaung di bawah Unit Jaringan Industri UiTM yang bertanggungjawab untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak industri seperti DBP. Selain itu, unit tersebut turut berhasrat untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan bidang keusahawanan buku, seiring dengan situasi semasa dalam dunia penerbitan buku.
Jelas beliau, selain berhasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama berkaitan dengan penerbitan buku, unit tersebut turut berhasrat untuk terlibat dalam penyediaan buletin dan juga penganjuran bengkel penulisan pada masa akan datang.

Mengulas dengan lebih lanjut, YBrs. Tuan Haji Razali turut berkata bahawa pada masa ini, penulis harus berani untuk menjual karya mereka sendiri kepada pembaca dan tidak bergantung sepenuhnya pada penerbit. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis tersebut lebih mengetahui kekuatan dalam kandungan buku yang mereka hasilkan.
Turut hadir pada sesi pertemuan tadi ialah Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Mariati Josepha Mustafa; Ketua Bahagian Multimedia, Puan Naimah Yusof; Ketua Bahagian Harta Intelek, Shah Rizal Azwan Ghazali; Ketua Editor Buku Bahasa, Tengku Fauziah Ku Mat; Timbalan Ketua Editor Majalah, Puan Aninah Janang; Editor Kanan Bahagian Buku Umum, Puan Huznah Sa’it dan juga wakil dari Unit Penerbitan UiTM Cawangan Kedah.